KOTA KINABALU: Parti Liberal Demokratik (LDP) menolak dakwaan Warisan bahawa langkah mengkorporatkan Jabatan Air Sabah akan membebankan rakyat.
Naib Presiden LDP, Sim Fui, berkata Warisan sengaja mengelirukan orang ramai dengan menyamakan korporatisasi dengan penswastaan.
“Korporatisasi bukan untuk mencari untung, tetapi memprofesionalkan pengurusan dengan pemilikan kekal 100 peratus milik negeri. Warisan cuba menakut-nakutkan rakyat dengan tafsiran salah,” katanya.
Beliau menegaskan kebimbangan kenaikan tarif tidak berasas kerana ia tetap tertakluk kepada kawal selia.
“Warisan cuba menakutkan keluarga dengan bayaran bil yang kononnya akan melambung. Itu tidak bertanggungjawab,” katanya.
Sim Fui turut mengingatkan bahawa bekas Ketua Pengarah Jabatan Air di era Warisan sendiri, Datuk Ir. Dr. Amarjit Singh, telah menyokong korporatisasi sebagai langkah mengatasi ketirisan.
“Jika bekas pegawai lantikan Warisan pun akui perlu, bagaimana mereka boleh menolak?” katanya.
Menurutnya, korporatisasi tidak akan menjejaskan pekerjaan kakitangan, sebaliknya memperkenalkan piawaian prestasi yang lebih telus.
“Rakyat mahu sistem air yang berfungsi, bukannya terus dibelenggu birokrasi dan kegagalan lalu,” tegasnya.






