KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,711 produk eksport Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) bakal menikmati kadar tarif lebih rendah, susulan termeterainya Perjanjian Dagangan Timbal Balik antara kedua-dua negara pada Ahad.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata langkah itu melibatkan pelbagai sektor utama termasuk minyak sawit, getah, koko, komponen farmaseutikal serta peralatan aeroangkasa.
“Keseluruhan eksport bagi kategori ini dianggarkan bernilai sekitar USD5.2 bilion (RM21.9 bilion), bersamaan kira-kira 12 peratus daripada jumlah eksport Malaysia ke AS,” katanya pada sidang media.
Menurut beliau, pengurangan tarif tersebut akan dikuatkuasakan dalam tempoh 60 hari selepas kedua-dua negara selesai menukar dokumen rasmi seperti yang ditetapkan dalam prosedur undang-undang.
Dalam kenyataan bersama, kedua-dua kerajaan memaklumkan bahawa produk tersenarai di bawah Annex III to Executive Order 14346 bertarikh 5 September 2025 akan menikmati kadar sifar peratus.
Tarif 19 peratus dikekalkan untuk barangan lain di bawah Perintah Eksekutif 14257 bertarikh 2 April 2025.






