Dua Remaja Cedera Skuter Jatuh Gaung di Kokol

Dua Remaja Cedera Skuter Jatuh Gaung di Kokol

0
SHARE

KOTA KINABALU: Dua remaja cedera selepas skuter Honda Vario yang dinaiki mereka terbabas dan terjatuh ke dalam gaung sedalam 10 meter di Jalan Kokol, Kampung Kokol, petang Isnin.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.13 petang.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dengan kekuatan sembilan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

Komander Operasi, PBK I Mohd Hasrulnizam Mohd Zain berkata mangsa melibatkan seorang lelaki berusia 20 tahun dan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun.

“Mangsa lelaki berjaya diselamatkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi,” katanya.

Beliau berkata, mangsa kedua yang berada di dalam gaung berjaya dibawa naik oleh pasukan penyelamat menggunakan peralatan tali dan stretcher sebelum diberikan rawatan awal di lokasi.

Kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I menggunakan jentera EMRS dan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.25 malam selepas pihak bomba memastikan tiada lagi risiko bahaya di lokasi kejadian.

Turut berada di lokasi ialah anggota polis dan pegawai perubatan KKM.