KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Jemaah Menteri Persekutuan atas keputusan bersejarah untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan semula hak perlembagaan Sabah berhubung pemberian khas 40 peratus hasil negeri.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata keputusan itu mencerminkan keprihatinan dan komitmen tulen Perdana Menteri dalam menegakkan apa yang telah dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan, sekaligus menzahirkan kefahaman beliau terhadap aspirasi dan harapan rakyat Sabah.
“Dalam beberapa siri perbincangan saya dengan Perdana Menteri, saya telah menegaskan pendirian tegas Kerajaan Negeri bahawa hak perlembagaan Sabah mesti dihormati, diiktiraf dan dilaksanakan.
“Keputusan untuk tidak membuat rayuan ini membuktikan adanya hubungan kerja yang kukuh dan saling menghormati antara Kerajaan Negeri pimpinan GRS dan Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Hajiji menegaskan bahawa keputusan ini merupakan langkah penting ke arah merapatkan jurang pembangunan antara Sabah dan Semenanjung Malaysia, terutamanya di kawasan luar bandar yang masih berdepan kekurangan dari segi infrastruktur, pertanian dan kemudahan asas.
“Rakyat Sabah telah menunggu terlalu lama. Kini tiba masanya untuk tindakan tegas dan kemahuan politik yang tulen bagi melaksanakan hak 40 peratus itu demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat,” jelasnya.
Menurut beliau lagi, Kerajaan Negeri bersedia untuk meneruskan rundingan secara konstruktif dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pelaksanaan penuh keputusan mahkamah dan memuktamadkan perjanjian pemberian khas tersebut.
Hajiji turut menyeru rakyat Sabah agar terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri serta mengekalkan semangat kerjasama yang erat antara Sabah dan Putrajaya demi memastikan kemajuan dan keadilan untuk semua rakyat di negeri ini.






