KOTA KINABALU: Suasana tegang tercetus di tapak pembinaan Boulevard 360 Bundusan pagi Rabu apabila sekumpulan pekerja berkumpul di luar pejabat dan galeri jualan projek Dengan mendakwa mereka belum menerima gaji.
Menurut laporan polis yang dibuat seorang pengurus berusia 37 tahun, kumpulan itu berhimpun sekitar 8.30 pagi dan enggan bersurai sehingga pihak pengurusan terpaksa merujuk perkara tersebut kepada polis.
Beliau menegaskan isu gaji itu tidak melibatkan pemaju Borneo Kemuncak Riang Sdn Bhd.
Kejadian berlaku ketika projek itu berada dalam perhatian umum susulan seorang pengarah syarikat disahkan membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Insiden tersebut turut mencetuskan dakwaan tular di media sosial kononnya projek berkenaan telah terbengkalai.
Dalam kenyataan balas, Borneo Kemuncak Riang menolak tuduhan itu sebagai tidak berasas dan menjelaskan siasatan SPRM menyebabkan gangguan operasi sementara yang memperlahankan kemajuan tapak.
Syarikat memberi jaminan usaha pemulihan sedang dijalankan dan komited menyiapkan projek tersebut.
Syarikat itu turut mengingatkan bahawa penyebaran maklumat palsu atau fitnah adalah kesalahan serius dan tidak menolak mengambil tindakan undang-undang.
“Orang ramai dinasihatkan merujuk saluran rasmi syarikat bagi mengelakkan salah maklumat,” katanya melalui kenyataan.






