KOTA KINABALU: Ketua Menteri merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menegaskan keyakinan GRS untuk mencapai majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah 2025 adalah berasaskan prestasi pentadbiran yang kukuh sepanjang lima tahun memerintah.
Beliau berkata, kerajaan negeri pimpinan GRS telah melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan, meningkatkan prestasi sektor ekonomi dan memperluas program kebajikan rakyat secara signifikan sejak 2020.
“Kita begitu yakin kerana dalam masa lima tahun ini, kita telah berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan Sabah. Pelbagai sektor ekonomi telah dipertingkatkan dan kebajikan rakyat diberi keutamaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan 1,974 Geran Subsidiari 1Borneo kepada USIA di Menara Kinabalu pada Khamis.
Menurut Hajiji, Kerajaan GRS turut memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan termasuk menyediakan peruntukan bantuan pendidikan terbesar dalam sejarah Sabah.
“Dalam masa hampir lima tahun, kita belanja RM1.3 bilion. Biasiswa pun kita tingkatkan, macam-macam lagi,” katanya.
Beliau turut menggariskan beberapa pencapaian utama kerajaan termasuk termeterainya perjanjian strategik dengan PETRONAS, peningkatan hasil negeri daripada hampir RM4 bilion kepada RM7 bilion serta peningkatan rizab negeri daripada RM3 bilion kepada lebih RM8 bilion.
“Ini satu kejayaan dan rakyat mesti melihat ini,” katanya sambil memaklumkan hampir 100,000 rakyat di bawah E-Kasih menerima bantuan Sentuhan Kasih Rakyat Sabah (SYUKUR) sebanyak RM300 sebulan, termasuk bantuan perumahan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).
Mengulas serangan pembangkang, Hajiji menegaskan mereka pernah berada dalam kerajaan negeri dan Persekutuan namun gagal menunjukkan pencapaian sebanding.
“Kita sudah berada di landasan yang betul. Saya harap rakyat tengok betul-betul. Jangan ikut perasaan tetapi lihat bukti prestasi nyata kerajaan GRS dalam lima tahun ini,” tegasnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan sedang melaksanakan pelbagai agenda pembangunan termasuk menyelesaikan masalah air yang menurutnya berpunca daripada tindakan kerajaan terdahulu menamatkan konsesi air sehingga menyebabkan kerajaan kini menanggung kos RM315 juta.
“Kalau tidak ada pembatalan ini, RM315 juta itu kita boleh guna untuk buat jalan kampung, jambatan kampung dan sebagainya,” katanya.
Dalam masa sama, Hajiji menolak dakwaan yang mengaitkan Kerajaan GRS dengan rasuah, menyifatkannya sebagai fitnah bermotif politik.
“Apa yang rasuah? Kita batalkan permohonan mereka dalam cari gali mineral… Itu semua motif politik yang jahat,” katanya.
Mengulas video-video tular menyerang pimpinan GRS, Hajiji menegaskan pihak luar tidak seharusnya datang ke Sabah untuk mencetuskan provokasi.
“Orang dari sana datang ke sini mahu mengajar kita. Patut dia ada disiplin dan sopan bila datang ke negeri orang untuk mencari rezeki. Apa dia mahu buat di sini?” katanya.






