Anwar Sokong Kerajaan Baharu GRS Plus Sabah, Tekankan Kepentingan Suara Rakyat

Anwar Sokong Kerajaan Baharu GRS Plus Sabah, Tekankan Kepentingan Suara Rakyat

0
SHARE

KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor atas mandat baharu pembentukan Kerajaan Negeri, menekankan bahawa suara rakyat Sabah mesti dihormati sepenuhnya.

Dalam kenyataannya, Anwar berkata kerajaan MADANI menghormati sepenuhnya mesej tegas dan jelas yang telah dilontarkan para pengundi di Sabah.

“Mereka menuntut perubahan yang nyata setelah sekian lama dihadapkan dengan ketidakadilan dan pengabaian oleh hampir semua parti sama ada dari Semenanjung mahupun Sabah sendiri,” katanya.

Perdana Menteri menambah bahawa dalam tempoh tiga tahun lalu, kerajaan berusaha menyelesaikan isu-isu warisan, termasuk tuntutan dan hak berkaitan kepentingan Sabah, dengan kemajuan khusus dicapai dalam aspek Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kerajaan MADANI akan terus konsisten di jalur pembaharuan ini sebagai usaha dan upaya kita melahirkan sebuah Sabah yang adil, saksama, makmur dan tidak lagi dipinggirkan.

“Suara rakyat Sabah adalah amanah yang mesti kita junjung dengan sikap pertanggungjawaban yang tinggi,” tegasnya.