KOTA KINABALU: Pergerakan Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) hari ini menegaskan pendirian bahawa kerajaan negeri perlu mengekalkan kerjasama GRS Plus sebagai teras pentadbiran Sabah, sambil menolak kemasukan Barisan Nasional (BN) sebagai rakan gabungan kerajaan.
Dalam satu kenyataan rasmi, Beliawanis berkata, generasi wanita muda Sabah mahukan kerajaan yang dipandu prinsip, keberanian politik dan kestabilan jangka panjang. Menurut mereka, Sabah tidak boleh kembali kepada politik tidak menentu yang pernah menyaksikan episod perebutan kuasa, perubahan sokongan mendadak serta campur tangan luar sehingga menjejaskan pentadbiran negeri.
Beliawanis turut mengingatkan tentang episod Langkah Kinabalu, yang menurut mereka menjadi pengajaran besar kepada rakyat Sabah apabila cubaan menjatuhkan kerajaan secara pintu belakang mencetuskan keresahan awam dan mengganggu keyakinan pelabur serta komuniti perniagaan. Mereka menegaskan bahawa memasukkan BN ke dalam gabungan kerajaan hanya akan meningkatkan risiko ketidakstabilan yang sama.
Menurut kenyataan itu, aspirasi belia dan wanita muda Sabah hari ini jelas menolak budaya politik lama yang berteraskan dominasi luar dan perebutan kuasa. Sebaliknya, mereka mahukan kerajaan negeri yang dipimpin parti-parti lokal, memahami realiti rakyat di peringkat akar umbi, serta mampu mengutamakan kepentingan Sabah tanpa tekanan luar.
Kerjasama GRS Plus, menurut Beliawanis, telah membuktikan kemampuan mentadbir dengan lebih serasi, konsisten dan selari dengan aspirasi rakyat. Mereka menekankan bahawa autonomi politik Sabah perlu terus menjadi asas pembentukan kerajaan negeri, dan mengekalkan GRS Plus tanpa BN akan memberikan ruang lebih luas untuk dasar serta keputusan dibuat berdasarkan keperluan sebenar rakyat.
Sehubungan itu, Pergerakan Beliawanis menyeru Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor supaya memberi perhatian serius terhadap suara wanita muda yang semakin berpengaruh dalam landskap politik negeri.
Mereka menegaskan bahawa Sabah wajar terus dipimpin kerajaan yang stabil, tegas dan berteraskan parti-parti lokal demi menjaga maruah serta kepentingan negeri.
Kenyataan itu mencerminkan pendirian tegas Beliawanis untuk mempertahankan GRS Plus sebagai gabungan paling sesuai untuk membawa Sabah ke arah pembangunan yang konsisten, bebas tekanan luar dan lebih mampan.






