Lantikan Ini Bukan Penghormatan, Tetapi Amanah – Datuk Bob Komited Perjuang Suara...

Lantikan Ini Bukan Penghormatan, Tetapi Amanah – Datuk Bob Komited Perjuang Suara Rakyat Darau

0
SHARE

KOTA KINABALU: “Pelantikan ini bukan satu penghormatan kepada saya semata-mata, tetapi amanah untuk terus memperjuangkan suara rakyat.” tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Mohamed Razali Razi atau lebih dikenali sebagai Datuk Bob, susulan pelantikannya ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, semalam.

Beliau berkata, kepercayaan yang diberikan itu adalah satu tanggungjawab besar yang akan dipikul dengan penuh iltizam, khususnya dalam memastikan masyarakat Darau terus mendapat pembelaan dan perhatian sewajarnya.

“Politik bukan pentas mencari kemewahan, tetapi ruang untuk membawa suara rakyat yang kadang-kadang tenggelam di tengah hiruk-pikuk percaturan kuasa. Amanah ini saya pikul dengan hati yang rendah diri,” katanya dalam kenyataan di Facebook, semalam.

Razali yang juga Setiausaha Eksekutif Gabungan Rakyat Sabah (GRS) turut menyatakan rasa syukur atas rezeki dan peluang yang diberikan, sambil menyifatkan perjalanan turun padangnya sebelum ini seperti berjumpa penduduk, mendengar keluhan dan memahami isu setempat adalah sebahagian daripada aturan Allah untuk mempersiapkannya ke tahap ini.

“Segala usaha ini adalah untuk Darau. Untuk keluarga yang saya temui di jalan kampung, untuk anak muda yang membawa impian besar, untuk ibu bapa yang mahukan masa depan lebih terjamin. Darau bukan hanya kawasan, ia adalah jiwa perjuangan saya,” katanya.

Tambah Setiausaha Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu, kuasa adalah pinjaman dan boleh datang serta pergi pada bila-bila masa, namun khidmat kepada rakyat adalah satu kewajipan yang sentiasa dipegangnya.

“Insya-Allah, suara Darau akan sentiasa bergema di Dewan Undangan Sabah. Terima kasih Darau, amanah ini milik kita bersama,” katanya.