Isteri Dakwa Suami Rogol Dan Pukul Pembantu Rumah

Isteri Dakwa Suami Rogol Dan Pukul Pembantu Rumah

0
SHARE

SUBANG JAYA – “Saya tidak menyangka suami tergamak merogol pembantu rumah kami yang saya anggap seperti keluarga saya sendiri,” kata wanita yang membuat laporan polis mendakwa suaminya merogol pembantu rumah di kediaman mereka di Subang Jaya.

Kejadian itu hanya disedari wanita berusia 40 tahun itu selepas pembantu rumah warga Indonesia berusia 32 tahun memaklumkan kepadanya awal bulan lalu.

Katanya, sebelum itu, dia pernah melihat suaminya berusia 45 tahun memukul pembantu rumahnya di rumahnya, 17 September lalu.

“Ketika kejadian, saya terdengar jeritan pembantu rumah sebelum bergegas ke bilik berkenaan. Saya melihat suami memukulnya dan mendakwa wanita itu yang menyerangnya terlebih dulu.

“Saya melarang tindakan suami yang terus cuba memukul pembantu rumah dan memintanya keluar dari rumah itu, namun dia enggan.

“Keengganan dia keluar dari rumah menyebabkan saya nekad untuk membawa tiga anak kami berusia antara satu hingga empat tahun bersama pembantu rumah keluar dan menetap di rumah keluarga di Kota Damansara, awal bulan lalu,” katanya yang membuat laporan berhubung kejadian itu di Balai Polis Bukit Puchong, 3 Oktober lalu.

Dia yang juga kakitangan swasta berkata, perbuatan rogol pula terbongkar selepas pembantu rumah memaklumkan kepadanya sebaik mereka keluar dari rumah berkenaan.

“Dia memaklumkan suami sudah merogolnya lebih sebulan sebelum peristiwa pukul berkenaan.

“Suami saya mengambil kesempatan selepas ditinggalkan berdua dengan pembantu rumah ketika saya keluar bekerja dan anak dihantar ke pusat asuhan memandangkan suami diberhentikan kerja sejak April lalu.

“Saya sendiri tidak menyedari kejadian itu kerana suami pandai berlakon seolah-olah tiada apa yang berlaku dan dia sangat pandai memanipulasikan keadaan,” katanya.

Dia membuat laporan polis berhubung kejadian merogol itu di Balai Polis Damansara, 9 Oktober lalu.

“Sebelum ini, suami pernah mengugut akan mencederakan saya dan pembantu rumah sekiranya membuat laporan kepada pihak berkuasa berhubung kejadian pukul menyebabkan saya menarik laporan polis yang dibuat.

“Saya sangat sayang pembantu rumah seperti adik saya sendiri. Anak-anak saya juga sangat rapat dengannya memandangkan dia sudah bersama dengan keluarga kami lebih setahun.

“Saya berharap pihak berkuasa terutama Konsulat Indonesia tampil untuk membantunya bagi membolehkan dia meneruskan kehidupannya semula bersama kami” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Subang Jaya Asisten Komisioner Muhammad Azlin Sadari ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Suspek sudah ditahan ketika tampil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya, Jumaat lalu dan akan direman sehingga 30 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

“Ia berdasarkan hasil pemeriksaan terhadap mangsa yang mendapati terdapat kesan koyakan yang mengaitkan suspek dengan kejadian rogol terbabit,” katanya.

Sementara itu, mangsa pula ditahan pada 17 Oktober lalu dan direman hingga 29 Oktober ini kerana didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah, katanya.