Tiga Cedera, Proton Saga Bertembung Myvi di Jalan Kota Belud–Tuaran

Tiga Cedera, Proton Saga Bertembung Myvi di Jalan Kota Belud–Tuaran

0
SHARE

KOTA BELUD: Tiga mangsa cedera selepas sebuah Proton Saga bertembung dengan sebuah Perodua Myvi dalam kemalangan di Jalan Kota Belud–Tuaran berhampiran Bukit Kelawat, lewat malam Sabtu.

Kejadian pada jam 11.35 malam itu berlaku apabila Perodua Myvi dari arah bertentangan secara tiba-tiba memasuki laluan Proton Saga yang sedang menuju ke arah Tuaran sebelum berlaku pertembungan kuat.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, ASP Ahmad Fathie Md Salleh berkata, terdapat tujuh orang penumpang di dalam Proton Saga dan mangsa yang mengalami kecederaan telah dihantar ke Hospital Kota Belud serta Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan lanjut.

“Sementara itu, seorang mangsa dalam Perodua Myvi juga cedera dan turut dihantar ke Hospital Kota Belud untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Menurut beliau, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, polis menyeru mana-mana saksi yang melihat kejadian tampil ke Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud bagi membantu siasatan.

Pihak polis turut mengingatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati ketika memandu serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik bagi mengelakkan kemalangan.