KOTA KINABALU: Persatuan Wartawan Sabah (SJA) menganjurkan majlis minum petang pada Jumaat bagi mengalu-alukan kunjungan delegasi media dari Wilayah Zhejiang, China.
Presidennya, Mariah Doksil, berkata lawatan hormat itu merupakan kunjungan balas ke Sabah susulan lawatan SJA ke tiga bandar di Zhejiang pada September lalu.
Menurutnya, delegasi berkenaan telah mengadakan lawatan ke beberapa organisasi media di Kota Kinabalu serta berpeluang melawat Sekolah Menengah Kian Kok bagi meneroka potensi kerjasama pada masa hadapan.
“SJA berharap lawatan ini dapat membuka lembaran baharu dalam mempromosikan Sabah menerusi penulisan wakil media dari Zhejiang,” katanya.
Mariah turut merakamkan penghargaan kepada Konsulat Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu atas tajaan lawatan wartawan Sabah ke China pada September lalu serta kerjasama menganjurkan lawatan delegasi media Zhejiang ke Sabah kali ini.
Delegasi Zhejiang diketuai oleh Pengarah Pejabat Hal Ehwal Luar Kerajaan Wilayah Zhejiang, Zhang Wen, bersama Timbalan Pengarah Pejabat Maklumat Kerajaan Wilayah Zhejiang, Shentu Qinger.
Dalam ucapannya, Zhang Wen menyuarakan harapan agar lebih banyak program berkaitan kebudayaan, pendidikan, ekonomi dan persahabatan dapat dijalankan antara Sabah dan Zhejiang.
Beliau berkata kepelbagaian budaya di Sabah serta pengaruh masyarakat Cina menjadikan negeri ini sesuai untuk pelaksanaan lebih banyak inisiatif dua hala.
Zhang turut mengucapkan terima kasih kepada SJA atas sambutan dan jamuan minum petang yang dianjurkan, serta menyatakan hasrat untuk melihat lebih banyak program pertukaran diadakan pada masa akan datang.
Lawatan selama empat hari tiga malam itu dijangka dijadikan program tahunan bagi memperkukuh pertukaran budaya dalam kalangan pengamal media dari kedua-dua negara.






