KOTA KINABALU: Komitmen SBH Kibing New Solar Energy menggaji lebih 84 peratus tenaga kerja dalam kalangan rakyat Sabah menjadi antara fokus utama lawatan kerja Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick ke syarikat berkenaan di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Sepanggar, pada Selasa.
Ewon yang juga Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah berkata, lawatan itu bertujuan meninjau operasi, prestasi serta perkembangan pengembangan Kibing yang merupakan antara pelaburan perindustrian utama di negeri ini.
Ewon berkata, beliau berbangga dengan pencapaian syarikat berkenaan, khususnya inisiatif menggaji lebih 84 peratus pekerja tempatan serta usaha berterusan untuk meningkatkan peratusan tersebut pada masa akan datang.
“Pencapaian ini membuktikan peranan penting pelaburan industri dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri,” katanya.
Dalam lawatan itu, beliau turut diberi taklimat mengenai operasi semasa, pencapaian syarikat serta perancangan masa depan Kibing.
Ewon turut menghargai pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat berkenaan yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat, selain menyokong pertumbuhan ekonomi Sabah.
Pada masa sama, beliau menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk menangani isu kesesakan di Pelabuhan Sepanggar yang bukan sahaja menjejaskan operasi Kibing, malah melibatkan pemain industri lain di Sabah.
“Saya mengambil serius perkara ini dan memberi jaminan bahawa langkah proaktif akan diambil dengan melibatkan semua pemegang taruh bagi memastikan penyelesaian yang berkesan,” katanya.
Menurut Ewon, pengukuhan ekosistem logistik serta infrastruktur pelabuhan amat penting bagi menyokong pertumbuhan sektor perindustrian dan menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi ke Sabah.
Lawatan kerja itu turut disertai wakil Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah, Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah, KKIP Sdn. Bhd., Sabah Electricity, Suruhanjaya Tenaga Sabah, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Sabah, Jabatan Pembangunan Perindustrian (DIDR), Jabatan Keretapi Sabah serta wakil persatuan industri logistik negeri.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap MINDET, Datuk Thomas Logijin, Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah, Dollyn Aloysius serta wakil jabatan dan agensi kerajaan negeri.
SBH Kibing New Solar Energy merupakan syarikat pembuatan kaca solar yang beroperasi di KKIP dan adalah sebahagian daripada Kibing Group, sebuah kumpulan pengeluar kaca dan bahan solar berteknologi tinggi dari China.






