Tiga Ditangkap, 132 Kenderaan Diperiksa Dalam Operasi OBMJ Penampang Sempena Ambang Tahun...

Tiga Ditangkap, 132 Kenderaan Diperiksa Dalam Operasi OBMJ Penampang Sempena Ambang Tahun Baharu

0
SHARE

PENAMPANG: Seramai tiga individu ditangkap manakala 132 kenderaan diperiksa menerusi Operasi Bersepadu Mencegah Jenayah (OBMJ) yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang sempena sambutan ambang Tahun Baharu 2026, malam semalam.

Operasi yang melibatkan semua elemen kepolisan itu bertujuan meningkatkan kehadiran polis (omnipresence) di kawasan tumpuan orang ramai dan lokasi panas (hotspot) bagi mencegah serta mengurangkan potensi jenayah.

OBMJ berkenaan diketuai Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Erwansyah Abd Basir dengan kekuatan 12 pegawai kanan polis dan 46 anggota lain-lain pangkat.

Dalam operasi itu, satu sekatan jalan raya didirikan di Jalan Bundusan, Penampang selain dua lokasi ‘snap check’ dilaksanakan. Pasukan rondaan turut digerakkan di taman perumahan dan kampung bagi mencegah jenayah pecah rumah serta curi kenderaan.

Polis turut menjalankan pemeriksaan dan pemantauan ke atas premis hiburan di sekitar daerah Putatan dan Penampang.

Secara keseluruhan, seramai 183 individu dan 231 kenderaan diperiksa, dengan tiga tangkapan berjaya dibuat hasil operasi berkenaan.

Polis Penampang menegaskan OBMJ bukan sahaja bertujuan pencegahan jenayah, malah sebagai medium mendekati masyarakat setempat bagi memudahkan perkongsian maklumat serta mengurangkan persepsi ‘fear of crime’.

IPD Penampang akan terus komited meningkatkan kehadiran di lapangan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.