BEAUFORT: Hampir 10,000 petani di daerah ini dilaporkan terjejas akibat banjir yang melanda sejak beberapa hari lalu, sekali gus memberi kesan buruk terhadap sektor pertanian dan penternakan apabila tanaman musnah serta ternakan mati.
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Ruslan Muharam berkata, sawah padi, tanaman buah-buahan serta tanaman makanan ditenggelami air, menyebabkan kerugian besar kepada para petani.
“Di kawasan yang sering dilanda banjir, tanaman mati akibat air bertakung, manakala ternakan pula tidak mampu bertahan dalam keadaan sejuk dan banjir yang berpanjangan. Keadaan ini menjejaskan pendapatan petani serta keselamatan makanan di kawasan terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke beberapa Pusat Penempatan Sementara (PPS) serta menyerahkan bakul makanan kepada mangsa terjejas banjir, di sini, pada Rabu.
Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, selain kerosakan hasil pertanian, ramai penternak turut mengalami kematian ternakan seperti kambing dan ayam, manakala kolam ternakan turut rosak akibat banjir.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan petani dan penternak supaya segera melaporkan kerosakan kepada Pegawai Pertanian Daerah bagi tujuan pemeriksaan dan penilaian sebelum laporan dikemukakan ke peringkat negeri dan kementerian.
Menurutnya, pelaporan yang lengkap dan tepat penting bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada golongan yang benar-benar terjejas serta mempercepatkan proses pemulihan sektor pertanian dan penternakan.
“Kerugian akibat banjir ini dianggarkan mencecah jutaan ringgit melibatkan kehilangan hasil tanaman, kematian ternakan serta kerosakan harta benda. Bantuan segera amat diperlukan bagi meringankan beban petani dan penternak,” katanya.






