Seorang Lelaki Dipenjara 5 Tahun Kerana Ingkar Arahan Kuarantin Sehingga Menyebarkan COVID-19

Seorang Lelaki Dipenjara 5 Tahun Kerana Ingkar Arahan Kuarantin Sehingga Menyebarkan COVID-19

0
SHARE

HANOI, VIETNAM – Ingkar arahan kuarantin kendiri (self-quarantine) di rumah sehingga menjadi punca penyebaran COVID-19, seorang lelaki di sini dijatuhkan hukuman penjara LIMA (5) tahun.

Mahkamah Rakyat Vietnam menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh didapati bersalah melanggar peraturan kuarantin kendiri di rumahnya selama 21 hari di wilayah selatan, selepas disahkan positif pada 7 Julai lalu.

Le Van Tri, 28, juga didapati bersalah ‘menyebarkan penyakit berjangkit berbahaya kepada orang lain’ selepas dia pulang ke wilayah asalnya Ca Mau, dari lokasi tompok panas COVID-19 di bandar Ho Chi Minh Julai lalu.

Menurut laporan mahkamah yang dipetik AFP, tindakan Tri mengingkari peraturan itu menyebabkan ramai dijangkiti COVID-19 dan seorang meninggal pada 7 Ogos lalu manakala media tempatan melaporkan lapan individu dijangkiti akibat perbuatan tertuduh.

Selepas mengekalkan jumlah kes rendah tahun lalu, Vietnam kini berdepan penularan paling serius COVID-19 setakat ini dengan hampir 540,000 kes dan lebih 13,000 kematian direkodkan.

Sebahagian besar jangkitan dan kematian dilaporkan sejak akhir April lalu dan ibu negara Vietnam, Hanoi serta pusat komersial bandar Ho Chi Minh dikenakan sekatan pergerakan ketat sejak beberapa bulan lalu yang mana beberapa orang didapati bersalah kerana menyebarkan virus itu kepada orang ramai di Vietnam.

Terdahulu, seorang lelaki berusia 32 tahun di Hai Duong turut dipenjara 18 bulan pada Julai lalu manakala kru penerbangan Vietnam Airlines dipenjara dua tahun bagi tuduhan yang sama Mac lalu.