KOTA KINABALU: Ribuan pelajar di seluruh Sabah mendapat manfaat menerusi inisiatif Back To School anjuran Gagasan Rakyat yang menyediakan gunting rambut percuma serta bantuan persekolahan bagi meringankan beban ibu bapa.
Di Kota Kinabalu, sayap pemuda Gagasan Rakyat bekerjasama dengan VS13 di Centre Point selama dua hari.
Ketua Pemuda, Safwan Faisyal Diego berkata program itu berteraskan khidmat komuniti.
“Insya-Allah usaha ini akan diteruskan sepanjang musim persekolahan. Ia susulan sumbangan 900 pasang kasut sekolah ke Pulau Gaya dan selepas ini kami sasarkan bantuan alat tulis,” katanya.
Sebuah keluarga dari Kunak yang kebetulan ternampak tawaran tersebut membawa keempat-empat anak lelaki mereka, daripada prasekolah hingga Tahun Enam, untuk mendapatkan potongan rambut.
Bapa mereka, Samsu Tasakka berkata, di Kunak, gunting rambut RM8 seorang.
“Di sini kualitinya lebih baik dan percuma. Ia jimatkan belanja kami untuk keperluan lain. Kami sangat bersyukur dan harap lebih ramai boleh mendapat manfaat,” katanya.
Pemilik kedai gunting, Hafizuddin Sudirman, 22, berkata penglibatan itu memberi kepuasan peribadi.
“Buat kerja untuk komuniti beri rasa hangat di hati. Saya harap program ini diteruskan dan lebih ramai tukang gunting tampil membantu,” katanya.
Di Penampang, Ketua Bahagian Moyog Datuk Ceasar Mandela Malakun melancarkan program Ceasar’s Cut and Go melibatkan 19 kedai gunting dari Kepayan hingga Nambazan.
“Inisiatif ini membantu ibu bapa membuat persiapan sekolah dan meningkatkan keyakinan pelajar. Program Gagasan Rakyat membuktikan komitmen kami melangkaui politik,” katanya.
Tuaran pula menyaksikan kehadiran ramai orang di tiga lokasi iaitu Padang Pekan Tuaran serta Dewan Tamparuli dan Kiulu sempena program Back To School 2026 dan Jualan Rahmah.
Mohammad Ghazali Hajiji yang mengetuai inisiatif bersama Tuaran Youth Town Club berkata gunting rambut dan agihan kelengkapan sekolah bukan sekadar bantuan, tetapi suntikan semangat untuk anak-anak memulakan sesi persekolahan.
Di Banggi, sayap pemuda Gagasan Rakyat melaksanakan program di beberapa lokaliti termasuk Karakit, Kobong, Lok Tuhog, Batu Layar, Limbuak Darat dan Kg. Sabur.
Ahli Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohammad Mohamarin berkata lebih 370 pelajar serta beberapa guru menerima manfaat hasil tajaan dan kerjasama komuniti setempat.
Di Putatan, GRS dan Gagasan Rakyat Tanjung Keramat menganjurkan gunting rambut percuma di Servay Putatan.
Shah Alfie Yahya berkata inisiatif itu membantu mengurangkan perbelanjaan ibu bapa serta meningkatkan semangat pelajar.
“Program ini menunjukkan tanggungjawab sosial sentiasa diutamakan selari dengan khidmat politik,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Putatan Datuk Ir Shahelmey Yahya menggalakkan NGO dan pihak swasta menyertai usaha seumpama ini.
“Kepimpinan dan penyelarasan menjadikan program sebegini mampu dilaksanakan secara berkesan untuk manfaat masyarakat,” katanya.






