‘Wings Orang Kita’ Gegar Zepp KL, Era Baharu Kumpulan Rock Legenda Bermula

‘Wings Orang Kita’ Gegar Zepp KL, Era Baharu Kumpulan Rock Legenda Bermula

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Kumpulan rock legenda tanah air, Wings, bakal memulakan lembaran baharu menerusi konsert khas ‘Wings Orang Kita’ yang dijadual berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 30 Januari ini.

Konsert anjuran Rumah Produksi Merah itu menghimpunkan legasi, semangat dan pembaharuan Wings, sekali gus menjanjikan malam penuh emosi serta pengalaman muzik bermakna buat peminat setia kumpulan berkenaan.

Wings terus membuktikan semangat mereka kekal utuh meskipun melalui perubahan zaman, termasuk kemasukan dua ahli baharu, Pae dan Arm, yang membawa nafas segar kepada perjalanan seni kumpulan itu tanpa menjejaskan identiti asal mereka.

Gabungan tenaga lama dan semangat baharu tersebut memberi dimensi berbeza kepada persembahan Wings, dengan konsep lebih segar, matang dan relevan selari dengan evolusi muzik semasa.

Kemasukan Pae dan Arm turut menandakan permulaan fasa baharu buat Wings, apabila kumpulan itu merancang memperkenalkan idea muzik lebih dinamik serta menghasilkan lagu-lagu baharu dalam masa terdekat.

Konsert Wings Orang Kita dianjurkan sebagai penghargaan kepada peminat yang terlepas menyaksikan konsert Wings 40 Tahun, selain tanda terima kasih kepada mereka yang sentiasa setia menyokong perjalanan karier kumpulan itu sejak awal.

Penganjur turut menjanjikan beberapa elemen kejutan khas pada malam konsert, menawarkan pengalaman eksklusif yang hanya dapat dirasai secara langsung oleh penonton di Zepp Kuala Lumpur.

Tiket ditawarkan dalam beberapa kategori termasuk Rockzone Standing (RM178), Free Standing (RM148), Rockzone Seating (RM298), Premium Seat (RM428), Standard Seat (RM358) dan VIP Box (RM8,800), dengan Wings Orang Kita dijangka menjadi satu lagi detik penting dalam sejarah kumpulan rock ikonik tersebut bersama peminat yang digelar “Orang Kita.”