PUTATAN: Kesedaran terhadap pengesanan awal kanser serviks perlu dipertingkatkan bagi membentuk tingkah laku kesihatan yang lebih baik dalam kalangan wanita di daerah ini.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, secara global kanser serviks merupakan penyebab kematian keempat tertinggi dalam kalangan wanita, dengan kebanyakan kes dikesan pada tahap lewat.
“Secara global, kanser serviks atau kanser pangkal rahim berada pada tempat keempat penyebab kematian wanita, dan kebanyakkan kes yang didiagnos berada di peringkat lewat iaitu tahap tiga dan tahap empat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru wanita supaya menjalani saringan awal termasuk ujian Pap smear bagi mengesan kanser serviks lebih awal.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pelancaran Projek Pendidikan Kesihatan anjuran ILKKM dengan kerjasama Klinik Kesihatan Putatan.
Shahelmey turut menegaskan program bertema Pengesanan Awal Kanser Serviks Jaminan Kesejahteraan Wanita itu penting untuk meningkatkan kesedaran, sambil mengingatkan bahawa perkhidmatan saringan boleh diperoleh di fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta.
“Sentiasa mengambil peduli terhadap tahap kesihatan masing-masing dan buatlah saringan kesihatan dengan kerap,” katanya.






