KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail, bagi membincangkan isu semasa serta perkara berkaitan keselamatan di Sri Gaya, di sini, hari ini.
Pertemuan itu mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Sabah dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memperkukuh kerjasama strategik demi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di negeri ini sentiasa terpelihara.
Perbincangan tertumpu kepada cabaran keselamatan semasa termasuk aspek pencegahan jenayah, penguatkuasaan undang-undang serta usaha meningkatkan keyakinan rakyat terhadap tahap keselamatan di Sabah.
Mohd Khalid hadir bersama Pesuruhjaya Polis Sabah, Jauteh Dikun, serta beberapa pegawai kanan dari Bukit Aman, menandakan keseriusan pihak PDRM dalam menyelaras tindakan keselamatan bersama kerajaan negeri.
Kerajaan Negeri Sabah menegaskan akan terus bekerjasama rapat dengan PDRM dalam memastikan persekitaran yang aman, stabil dan selamat demi kesejahteraan rakyat serta kelangsungan pembangunan negeri.






