KOTA KINABALU: Sabah menerima peruntukan RM76.29 juta Bantuan Awal Persekolahan (BAP) bagi tahun 2026 yang memanfaatkan 508,631 murid warganegara di 1,298 sekolah di seluruh negeri.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata bantuan itu membantu meringankan beban ibu bapa serta menggalakkan murid memberi tumpuan kepada pembelajaran.
“Bantuan Awal Persekolahan ini amat bermakna dalam membantu meringankan beban perbelanjaan persekolahan ibu bapa, khususnya pada awal tahun.
“Ia juga menjadi pembakar semangat kepada murid untuk terus fokus dan cemerlang dalam pembelajaran,” katanya.
Menurut beliau, kadar BAP ditetapkan RM150 seorang sejak 2023 dan diberikan secara sejagat tanpa mengira pendapatan. Bagi 2026, peruntukan nasional berjumlah RM794.25 juta dan agihan kepada sekolah bermula 8 Januari lalu.
Di Sabah, peruntukan itu melibatkan 24 Pejabat Pendidikan Daerah dan telah disalurkan kepada sekolah untuk pengagihan kepada murid.
Beliau turut menegaskan tiada sebarang potongan atau kutipan dibenarkan daripada wang BAP.
“Saya menyeru ibu bapa dan murid agar memanfaatkan bantuan ini sebaiknya sebagai pembakar semangat untuk mencapai kecemerlangan dalam pendidikan,” katanya.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan semua PPD atas kelancaran pengagihan bantuan.






