Mangsa Kemalangan Perlukan Derma Darah Jenis O, O+, Dirawat Kritikal di Hospital...

Mangsa Kemalangan Perlukan Derma Darah Jenis O, O+, Dirawat Kritikal di Hospital Queen Elizabeth I

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seorang anggota Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Alexson Kermin, kini memerlukan penderma darah jenis O atau O+ dengan segera selepas kehilangan banyak darah akibat kemalangan jalan raya dan pembedahan yang telah dijalani.

Menurut kenyataan yang dikongsikan oleh Ellshra Yap Len (keluarga mangsa) di laman Facebook, Alexson terlibat dalam kemalangan ketika menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli susu untuk anak mereka beberapa hari lalu. Difahamkan, sebuah kenderaan dipercayai tersalah masuk lorong sebelum melanggar mangsa.

Akibat kejadian itu, Alexson mengalami kehilangan darah yang banyak dan kini sedang dirawat di Hospital Queen Elizabeth I, General Surgery, Tingkat 9, Wad 4. Keadaannya dilaporkan masih kritikal dan telah menjalani pembedahan.

Pada waktu kejadian, Alexson sedang bercuti kebajikan bagi menjaga isterinya yang baru sembilan hari melahirkan anak.

Isterinya kini terpaksa menguruskan tiga orang anak perempuan mereka yang masih kecil seorang diri, termasuk anak sulung yang sepatutnya memulakan sesi persekolahan tidak lama lagi.

Orang ramai yang berkelapangan dan ingin membantu diminta hadir ke Bangunan Blood Bank, Hospital Queen Elizabeth I pada waktu pejabat dan memaklumkan nama pesakit: Alexson Bin Kermin.

Dalam pada itu, keluarga turut menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati, khususnya di jalan baharu yang belum pasti keadaannya, serta tidak memandu laju demi keselamatan diri dan orang lain.

Keluarga mangsa merakamkan penghargaan kepada pihak yang terlibat dalam kemalangan kerana bertanggungjawab dan tidak melarikan diri, serta memohon doa orang ramai agar Alexson diberikan kesembuhan dan keluarganya dikurniakan kekuatan serta ketabahan menghadapi ujian ini.