Dua Lelaki Ditahan Ugut Bapa Mentua, Acu Pedang Samurai dan Parang

Dua Lelaki Ditahan Ugut Bapa Mentua, Acu Pedang Samurai dan Parang

0
SHARE

TAWAU: Polis menahan dua lelaki warga tempatan selepas disyaki mengugut seorang warga emas dengan menggunakan senjata tajam dalam kejadian di hadapan sebuah rumah di Kampung Pengkalan Asli, Merotai Besar, di sini, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian kira-kira jam 8 malam itu berlaku apabila kedua-dua suspek datang ke rumah mangsa sebelum bertindak mengamuk serta mengeluarkan ugutan.

Menurutnya, suspek utama yang juga menantu mangsa dilihat memegang pedang samurai, manakala adik lelakinya membawa sebilah parang ketika mengugut mangsa sehingga menimbulkan ketakutan.

“Kejadian dipercayai berpunca apabila isteri suspek utama yang juga anak perempuan mangsa ingin bermalam di rumah bapanya, namun perkara itu tidak dipersetujui oleh suspek sebelum berlaku pertengkaran,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, mangsa berusia 63 tahun kemudian membuat laporan polis bagi mendapatkan perlindungan dan tindakan lanjut.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau berjaya menahan kedua-dua suspek kira-kira jam 12.10 tengah malam di hadapan sebuah rumah di Kampung Merotai Besar,” katanya.

ACP Jasmin berkata, suspek utama berusia 39 tahun bekerja sebagai pemandu lori dan mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan ugutan serta pecah masuk, manakala suspek kedua berusia 27 tahun tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Beliau menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk ugutan, keganasan atau penggunaan senjata yang boleh mengancam keselamatan orang awam, serta menasihatkan orang ramai supaya menyelesaikan perselisihan melalui saluran undang-undang dan segera membuat laporan polis sekiranya berdepan situasi berbahaya.