Agenda Reform Nasional Perlu Cakupi Kepentingan Sabah

Agenda Reform Nasional Perlu Cakupi Kepentingan Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Agenda reform nasional mesti merangkumi kepentingan Sabah termasuk pelaksanaan penuh hak-hak negeri seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata, UPKO akan terus memperjuangkan representasi Sabah sekurang-kurangnya satu pertiga kerusi Parlimen serta penyelesaian menyeluruh hak 40 peratus hasil negeri.

Menurutnya, jika rundingan bagi “lost years” mengambil masa, pelaksanaan untuk tahun-tahun mendatang wajar dimuktamadkan segera kerana ia menjadi pemangkin utama pembangunan Sabah.

Berucap pada pelancaran Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO Ke-17 di SICC, Ewon menegaskan reform nasional perlu berteras MA63, termasuk penyelesaian lebih berkesan isu pendatang asing dan pelaksanaan jaminan perlembagaan kepada masyarakat Orang Asal.

Dalam konteks reform, beliau menyatakan sokongan terhadap had penggal Perdana Menteri dan Ketua Menteri, penyasaran semula subsidi, undang-undang pendanaan parti politik, pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, semakan undang-undang lapuk serta pendigitalan jentera penyampaian kerajaan.

Mengenai Kerajaan Perpaduan Sabah, Ewon berkata UPKO berpegang kepada prinsip menyokong gabungan yang memiliki kerusi terbanyak, sambil menegaskan kerajaan sedia ada sedang bekerja dan Halatuju Sabah Maju Jaya 2.0 akan dilancarkan hujung bulan ini.

Sebagai Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri MINDET, beliau memaklumkan Dasar Sabah First memfokuskan pembangunan ekosistem pelaburan dan keusahawanan, peningkatan kualiti produk tempatan serta pengukuhan tadbir urus.

Isu kesesakan Pelabuhan Sepanggar kekal keutamaan dengan penyelesaian interim dijangka diperkenalkan dalam masa terdekat, sementara peluasan pelabuhan sebagai solusi jangka panjang.