WASHINGTON – Facebook memberitahu pihaknya akan menyekat perkongsian kandungan berita di Australia, sekali gus enggan mematuhi peraturan yang memaksa firma gergasi sosial itu untuk berkongsi pendapatan dengan syarikat media.
Australia sedang dalam rancangan untuk menguatkuasakan undang-undang yang memaksa syarikat digital membayar kandungan berita.
Memetik laporan AFP, Facebook dan Google memakumkan bahawa ia adalah sesuatu yang kelak akan mewujudkan kelaziman global lalu merosakkan cara internet berfungsi.
“Undang-undang yang dicadangkan pada dasarnya salah memahami hubungan antara platform kami dan penerbit yang menggunakannya untuk berkongsi kandungan berita…
“Ini membuatkan kami menghadapi pilihan yang betul-betul gila sama ada untuk mematuhi undang-undang yang mengabaikan realiti perhubungan atau berhenti membenarkan kandungan berita dalam perkhidmatan kami di Australia. Dengan hati yang berat, kami memilih mengakhirinya,” kata Pengurus Facebook untuk Australia dan New Zealand, William Easton.
Langkah Facebook berbeza dengan Google dalam tempoh beberapa hari lalu, apabila memeterai perjanjian dengan kumpulan media termasuk dengan News Corp milik taikun media, Rupert Murdoch sebagai respon kepada desakan mematuhi peraturan baharu itu.
Awal minggu ini, pegawai Australia menyatakan, kedua-dua syarikat gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS) itu menghampiri perjanjian dengan media utama Australia untuk membayar berita, sekali gus menyelesaikan kebuntuan yang sedang dipantau rapat seluruh dunia.
Beberapa syarikat mengancam untuk menarik sebahagian perkhidmatan dari negara itu jika peraturan berkenaan bertukar menjadi undang-undang.
Ia mencetuskan perang dengan Canberra.
Menurut Easton, Facebook mempertikai pegawai Australia bahawa ‘pertukaran nilai antara Facebook dan penerbit menyebelahi penerbit’ dan menjana pendapatan ratusan juta dolar untuk organisasi media.
“Kami sudah lama berusaha mematuhi peraturan yang dapat mendorong inovasi dan kerjasama antara plaform digital dan organisasi berita…
“Bagaimanapun, undang-undang ini tidak melakukannya. Sebaliknya, ia bertujuan menghukum Facebook kerana tidak mengambil atau meminta kandungan,” katanya