KUNAK, SABAH – Pasukan polis berjaya menemui 10 karung guni berisi kabel telekomunikasi dipercayai kabel curi seberat 400 kilogram bernilai RM6,000 di Kampung Getah di sini pagi tadi.
Kosmo Online melaporkan bahawa serbuan pada pukul 9 pagi itu, dijalankan hasil maklumat dan risikan daripada Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Kunak dekat sini.
Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, hasil pemeriksaan di bengkel terbabit, pihaknya menemui sebanyak 10 karung guni berisi kabel telekomunikasi seberat 400 kilogram yang dipercayai kabel curi.
“Karung guni warna putih itu dijumpai di atas sebuah lori yang berada di dalam bengkel tersebut.
“Kesemua kabel berkenaan dianggarkan bernilai RM6,000 mengikut harga pasaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, seorang lelaki berusia 29 tahun yang merupakan pemilik bengkel barangan terpakai tersebut ditahan untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan.