PUTATAN: Sebanyak 17 rumah atas air musnah dalam kebakaran besar di Kampung Dumpil di sini pagi Khamis, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.59 pagi sebelum pasukan pertama tiba di lokasi lima minit kemudian.
Menurutnya, kebakaran melibatkan deretan rumah jenis tidak kekal dengan anggaran keluasan 20 x 30 kaki bagi setiap unit, manakala sebuah rumah berkeluasan 20 x 40 kaki.
“Sebanyak 14 rumah musnah terbakar 100 peratus, sebuah rumah terbakar kira-kira 50 peratus, manakala dua lagi mengalami kerosakan sekitar 10 peratus,” katanya.
Operasi pemadaman membabitkan kekuatan 22 anggota dari BBP Putatan dengan bantuan BBP Kota Kinabalu dan BBP Penampang, menggunakan tiga aliran sepanjang 300 kaki serta lima pancutan air.
“Sumber air diperoleh daripada jentera tangki bomba dan air terbuka dari sungai berhampiran,” jelasnya.
Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 8.04 pagi dan operasi ditamatkan pada jam 12.51 tengah hari selepas pemeriksaan menyeluruh dilakukan bagi memastikan tiada bahaya lain.
Turut membantu di lokasi ialah Sabah Electricity dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Punca kebakaran masih dalam siasatan.






