Kerajaan Negeri Pastikan Akses Pendidikan Untuk Semua Anak Sabah

Kerajaan Negeri Pastikan Akses Pendidikan Untuk Semua Anak Sabah

0
SHARE

TAMPARULI: Kerajaan Negeri komited memastikan tiada anak Sabah, khususnya daripada golongan B40, tercicir daripada mendapatkan akses pendidikan, selaras dengan agenda pembangunan negeri yang inklusif dan berterusan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pelbagai inisiatif bantuan pendidikan telah dilaksanakan di bawah pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0, termasuk bantuan persekolahan dan biasiswa bagi menyokong proses pembelajaran serta merapatkan jurang pendidikan.

“Inisiatif bantuan pendidikan ini akan diteruskan dan diperkukuhkan di bawah pelan pembangunan Sabah Maju Jaya 2.0,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian cermin mata kepada murid sekolah oleh Sabah Electricity sempena program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di Sekolah Kebangsaan Tamparuli, di sini, hari ini.

Teks ucapan Ketua Menteri itu disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai.

Hajiji turut menegaskan bahawa semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri perlu memainkan peranan lebih aktif dalam membantu golongan memerlukan, khususnya kumpulan B40, menerusi pelaksanaan program CSR yang berimpak tinggi dan mampan.

“Sumbangan kepada masyarakat bukan sekadar pilihan, sebaliknya satu tanggungjawab selaras dengan mandat penubuhan GLC. Setiap GLC perlu terus melaksanakan program CSR yang berfokus kepada pendidikan, kebajikan dan pembangunan modal insan rakyat Sabah,” katanya.

Menurut beliau, setiap inisiatif yang dilaksanakan akan dipantau secara telus dan sistematik, dengan laporan berkala dikemukakan kepada Kerajaan Negeri bagi memastikan keberkesanan serta akauntabiliti program.

“Pendekatan holistik yang mengimbangi prestasi operasi, kelestarian kewangan dan tanggungjawab sosial ini selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri di bawah SMJ 2.0,” katanya.

Ketua Menteri turut menasihati para penerima sumbangan CSR agar menjadikan bantuan yang diterima sebagai dorongan untuk terus berusaha dan kekal fokus dalam pelajaran demi masa depan yang lebih baik.