KINABATANGAN: Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag menjadi bukti jelas kematangan politik kerajaan perpaduan di Sabah, hasil penyatuan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan (PH) dan UPKO.
Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah berkata, kerjasama erat antara gabungan berkenaan telah menyumbang kepada peningkatan majoriti ketara bagi kedua-dua calon BN.
Beliau yang juga Pengerusi Kumpulan SEDCO ditemui sejurus pengumuman rasmi keputusan PRK kira-kira jam 10.30 malam pada Sabtu.
Menurutnya, keputusan itu mencerminkan pendekatan menang-menang demi kestabilan politik serta kesejahteraan rakyat.
“Roda politik sentiasa berputar. Penyatuan ini jelas menjurus kepada kematangan politik dan kestabilan yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Masiung yang berkampung selama empat hari di Kuamut serta membantu kempen di DUN Lamag turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan dan jentera GRS yang bertungkus-lumus sepanjang tempoh kempen.
Keputusan PRK menyaksikan calon BN Parlimen Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim Mokhtar memperoleh 19,852 undi dengan majoriti 14,214, menewaskan calon Warisan, Datuk Saddi Abdul Rahman (5,638 undi) dan calon Bebas, Goldam H Salangah (946 undi).
Sementara itu, calon BN bagi DUN Lamag, Mohd Ismail Ayub yang bertanding satu lawan satu menang dengan 7,269 undi dan majoriti 5,681, menewaskan calon Warisan, Mazilawati Abdul Malek yang memperoleh 1,588 undi.
Mengulas perbandingan prestasi pilihan raya, beliau berkata pada PRU15 Allahyarham Datuk Seri Bung Mokhtar Radin mempertahankan Parlimen Kinabatangan dengan majoriti 4,330 undi, manakala pada PRN17 kemenangan dicapai dengan majoriti tipis 153 undi, sekali gus menunjukkan lonjakan sokongan rakyat pada PRK kali ini.
Beliau turut menyifatkan kempen PRK Kinabatangan dan DUN Lamag sebagai satu kolaborasi erat antara GRS, BN, UPKO dan PH yang mencerminkan tahap politik matang.
“Kami dalam GRS telah melakukan yang termampu untuk membantu kemenangan bergaya BN selepas menerima arahan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Kita berharap parti-parti berpusat di Semenanjung menghormati kerjasama ini, memandangkan kemampuan mereka di Sabah sudah teruji dalam PRN17 yang lalu,” katanya.






