KSU KKR Turun Padang Pantau Pan Borneo Sabah, Cari Solusi Percepat Pelaksanaan

KSU KKR Turun Padang Pantau Pan Borneo Sabah, Cari Solusi Percepat Pelaksanaan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), Azman Ibrahim, turun padang meninjau kemajuan Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah baru-baru ini bagi memastikan isu pelaksanaan dikenal pasti dan ditangani segera.

Lawatan itu melibatkan dua pakej utama, iaitu WP01 Sindumin–Melalia sepanjang 28.5 kilometer dan WP02 Melalia–Beaufort sejauh 34.7 kilometer, yang masing-masing mencatat kemajuan 87.79 peratus dan 62.31 peratus.

Program dimulakan dengan sesi taklimat di pejabat Jabatan Kerja Raya Sabah (JKR Sabah) sebelum penilaian tapak bagi meneliti cabaran pembinaan, termasuk pembesaran jalan kepada empat lorong, pembinaan jambatan baharu, penambahbaikan sistem perparitan serta ciri keselamatan jalan raya.

Menurut KKR, pemantauan rapi di lapangan penting bagi memastikan projek mega berimpak tinggi itu kekal mengikut jadual, dengan penyelesaian praktikal dirangka bersama pihak berkepentingan termasuk kontraktor dan pasukan projek.

KKR menegaskan komitmen berterusan melalui mesyuarat Jawatankuasa Pemandu bulanan dan libat urus berkala bagi memastikan LPB Sabah siap seperti dirancang, sekali gus menyokong pembangunan sosioekonomi negeri selaras aspirasi Malaysia MADANI.