KOTA KINABALU: Pelan Strategik Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (JHEANS) 2026–2030 disifatkan sebagai satu keperluan penting dalam landskap pentadbiran awam masa kini bagi memastikan hala tuju, matlamat dan penyampaian perkhidmatan jabatan itu lebih tersusun, berfokus dan berimpak.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, pelan strategik bukan lagi sekadar pilihan, sebaliknya berfungsi sebagai dokumen kerja komprehensif dan kompas organisasi dalam mencapai visi dan misi yang ditetapkan.
“Tanpa pelan strategik yang jelas, sesebuah organisasi berisiko bergerak tanpa arah serta sukar mengukur prestasi dan keberkesanan perkhidmatan,” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Pelan Strategik JHEANS 2026–2030, di sini.
Beliau berkata, pelan strategik JHEANS selari dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang menjadi panduan utama pembangunan dan pentadbiran Kerajaan Negeri.
Menurutnya, pelan berkenaan merupakan langkah tepat dan proaktif ke arah memperkukuh tadbir urus serta meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Saya merakamkan penghargaan kepada kepimpinan jabatan, barisan pengurusan dan seluruh warga kerja JHEANS atas komitmen serta profesionalisme dalam merangka pelan strategik ini,” katanya.
Arifin turut menegaskan bahawa keupayaan sesebuah jabatan bukan hanya bergantung kepada dasar, tetapi turut ditentukan oleh kualiti kepimpinan dan kekuatan pasukan pelaksana yang berdisiplin, berintegriti dan berorientasikan prestasi.
Beliau berharap pelan strategik itu dapat menjadi contoh kepada jabatan dan agensi lain, khususnya dalam aspek perancangan strategik, pengurusan perubahan dan pemantauan prestasi berasaskan data serta hasil.
Dalam pada itu, Arifin mengingatkan peranan penting ketua-ketua adat dan kepimpinan di peringkat daerah untuk bersama-sama memastikan kebersihan dan keindahan kawasan sebagai cerminan kepimpinan dan nilai adat.
“Kebersihan dan keindahan daerah bukan hanya tanggungjawab pihak berkuasa tempatan, tetapi tanggungjawab kita bersama sebagai pemimpin adat dan masyarakat,” katanya.
Beliau berharap pelaksanaan Pelan Strategik JHEANS 2026–2030 akan menjadi pemangkin kepada peningkatan kecekapan, keberkesanan dan kredibiliti jabatan, sekali gus memberi manfaat berterusan kepada rakyat dan negeri Sabah.






