Ketua Menteri Terima Kunjungan Hormat Duta Kesatuan Eropah ke Malaysia

Ketua Menteri Terima Kunjungan Hormat Duta Kesatuan Eropah ke Malaysia

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, hari ini menerima kunjungan hormat Duta Kesatuan Eropah (EU) ke Malaysia, Rafael Daerr, di pejabatnya di Menara Kinabalu.

Dalam pertemuan itu, Rafael menegaskan kedudukan Sabah yang penting dalam hubungan EU–Malaysia, selari dengan peranan strategik negeri ini di rantau Asia Tenggara serta potensinya dalam ekonomi, pembangunan mampan dan hubungan antarabangsa.

Beliau turut menyatakan komitmen EU untuk terus memperkukuh hubungan dengan Sabah berlandaskan penglibatan positif yang telah terjalin sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Hajiji pula menegaskan Kerajaan Negeri sentiasa terbuka terhadap kerjasama antarabangsa yang selari dengan hala tuju pembangunan negeri dan mampu memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat, khususnya dalam mempercepat agenda pembangunan Sabah.

Berdasarkan keutamaan tersebut, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai potensi kerjasama masa depan antara EU dan Sabah, termasuk meneruskan penglibatan sedia ada serta meneroka peluang baharu yang lebih strategik dan berimpak tinggi merentas pelbagai bidang.

Terdahulu, Rafael menghadiri majlis pelancaran Buku Sistem Jaminan Perundangan Kayu Sabah Plus (Sabah TLAS+), iaitu sistem pertama seumpamanya di dunia yang menyelaraskan aspek perundangan, keperluan bebas penebangan hutan di bawah Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR), serta prinsip kelestarian sukarela dalam satu rangka kerja bersepadu.

Sementara itu, Hajiji turut menerima kunjungan hormat Konsul Republik Korea di Kota Kinabalu, Choi Bongkyu, yang merupakan pertemuan pertama beliau dengan Ketua Menteri sejak dilantik pada November lalu.