Konvoi JABD akan Jelajah ke 15 Daerah, Perkasa Kesedaran Bebas Dadah

Konvoi JABD akan Jelajah ke 15 Daerah, Perkasa Kesedaran Bebas Dadah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD) 2026 akan menjelajah lebih 15 daerah terpilih di seluruh Sabah sehingga September ini bagi mendekati masyarakat, khususnya golongan muda, dalam usaha memperkukuh kesedaran dan pencegahan penyalahgunaan dadah di negeri ini.

Pengerusi Skuad Antidadah Negeri Sabah, Datuk Mazlan Joehari Manan berkata, jelajah berkenaan memfokuskan kawasan berisiko tinggi berdasarkan statistik klien sedia ada, dengan pelaksanaan pelbagai aktiviti termasuk program sukan, kerohanian dan hiburan bagi menarik penyertaan anak muda serta pelajar sekolah.

“Program ini bertujuan mendekati masyarakat secara langsung dan membawa mesej jelas supaya menjauhi dadah. Kita akan melibatkan pelbagai lapisan masyarakat serta pimpinan setempat dalam setiap lokasi persinggahan,” katanya pada sidang media sempena Majlis Pelepasan Jelajah Aspirasi Bebas Dadah bersama Skuad Dua Roda Peringkat Negeri Sabah 2026, pada Isnin.

Antara daerah yang akan dikunjungi termasuk Kota Kinabalu, Tuaran, Lahad Datu, Sandakan, Papar, Tawau dan Kudat. Program itu turut diserikan dengan konvoi bermotor serta penglibatan rakan strategik seperti Foodpanda.

Terdahulu, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor melepaskan konvoi JABD melibatkan 150 motosikal dan lapan kenderaan pacuan empat roda di Menara Kinabalu.

Program anjuran bersama Agensi Antidadah Kebangsaan, Skuad Antidadah Sabah, Foodpanda dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) itu akan berakhir pada 6 September di Universiti Malaysia Sabah (UMS) sempena Sabah Moto Day (SMD) 9.0.

Dalam majlis sama, Ketua Menteri turut menyerahkan replika cek berjumlah RM531,350 sebagai sumbangan caruman Kerajaan Negeri kepada KWSP bagi manfaat 10,627 penunggang e-hailing, selain pemberian token RM50 seorang melalui akaun i-Saraan sebagai galakan mencarum.

Mazlan berkata, Sabah Moto Day 9.0 yang dijadual berlangsung pada 12 dan 13 September dijangka tampil dengan beberapa kelainan, dengan sasaran kehadiran melebihi 60,000 hingga 80,000 peminat dua roda berbanding lebih 50,000 peserta tahun lalu.

“Kita mahu program ini bukan sahaja menjadi platform peminat motosikal, tetapi juga wadah menyampaikan mesej keselamatan jalan raya dan kesedaran antidadah kepada golongan muda,” katanya.