TAMPARULI: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyeru rakyat negeri ini agar terus menghormati perbezaan antara satu sama lain bagi memperkukuh ikatan perpaduan serta mengekalkan keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum di Sabah.
Beliau berkata, perpaduan yang kukuh hanya dapat dicapai apabila rakyat bersatu dan saling menghargai kepelbagaian yang wujud dalam kalangan masyarakat.
“Perpaduan yang kukuh hanya dapat dicapai apabila rakyat bersatu dan saling menghargai kepelbagaian yang wujud dalam kalangan masyarakat,” katanya ketika merasmikan Pesta Angpau 2026 anjuran Persatuan Chung Fook Tong bersama 10 persatuan Cina lain di Dewan Tun Hamdan, di sini, semalam.
Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.
Menurutnya, Kerajaan Negeri Sabah sentiasa menyokong penganjuran program yang memperkukuhkan perpaduan rakyat, memupuk keharmonian antara kaum serta merangsang pembangunan sosial dan budaya, selaras dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
“Pesta Angpau ini membuktikan bahawa kerjasama erat antara kerajaan dan pertubuhan masyarakat mampu membawa manfaat besar kepada kesejahteraan rakyat,” katanya.
Hajiji turut mengulangi harapannya agar rakyat terus bersama kerajaan sebagai rakan kongsi dalam memperkukuh perpaduan serta mengekalkan kestabilan politik demi kesejahteraan rakyat dan kelancaran pembangunan negeri menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0.
Beliau juga menyeru masyarakat Tionghua agar terus menjadi rakan strategik kerajaan negeri dalam memacu pembangunan Sabah.
Menurutnya, Pesta Angpau merupakan platform penting dalam memelihara, meneruskan dan berkongsi budaya serta nilai murni masyarakat Tionghua kepada seluruh rakyat.
Malah, katanya, usaha tersebut turut membuka ruang untuk budaya tempatan diketengahkan ke peringkat lebih luas termasuk antarabangsa.
“Lebih membanggakan, penganjuran pesta ini turut menggalakkan penyertaan masyarakat berbilang kaum, selaras dengan identiti Sabah yang terkenal sebagai negeri yang aman, harmoni dan penuh toleransi.
“Inilah kekuatan sebenar kita – kepelbagaian yang diraikan bersama, bukan perbezaan yang memisahkan,” katanya.






