SANDAKAN: Isu berkaitan pelabuhan terus menjadi komitmen utama Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah (MINDET), kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ewon Benedick.
Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah mengadakan lawatan kerja ke Pelabuhan Sandakan kelmarin, bagi melihat sendiri aduan serta mendengar taklimat daripada Pengurus Sandakan Port, Hayati Md Enarji.
Menurutnya, lawatan itu bertujuan menjayakan portfolio kementerian selain meneliti usaha meningkatkan kecekapan operasi pelabuhan susulan perkara yang dibangkitkan oleh pemain industri.
“Kunjungan saya ini adalah bagi menjayakan portfolio di Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah serta meningkatkan kecekapan di pelabuhan susulan perkara-perkara yang dibangkitkan oleh pemain-pemain industri.
“Saya juga mengalu-alukan komitmen Sabah Ports Sdn Bhd selaku operator Pelabuhan Sandakan yang akan membawa jentera-jentera baharu tahun ini bagi meningkatkan kecekapan operasi.
“MINDET di bawah kepimpinan saya akan terus komited memastikan usaha penambahbaikan dapat dilaksanakan oleh agensi, syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat konsesi yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong; Pengerusi Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah, Datuk Donald Peter Mojuntin; Setiausaha Tetap MINDET, Datuk Thomas Logijin serta ketua-ketua jabatan berkaitan.
Dalam lawatan tersebut, Ewon turut mempengerusikan mesyuarat khas bagi membincangkan perkara berkaitan permohonan POIC Sabah Free Zone di Lahad Datu.
Hadir sama dalam mesyuarat itu ialah wakil Jabatan Perhutanan, POIC Sabah, Jabatan Tanah dan Ukur, Pejabat Hasil Bumi Sabah serta Pejabat Daerah Lahad Datu.
“Saya menghargai pandangan dan komitmen semua pihak untuk menjayakan pembangunan Free Zone di Lahad Datu dengan mengambil kira keseimbangan konservasi alam sekitar.
“MINDET akan mengangkat hasil mesyuarat ini ke Jemaah Menteri Sabah,” katanya.
Selepas itu, beliau turut mengadakan sesi dialog bersama Sandakan Chinese Chamber of Commerce (SCCC) dan Sandakan Forwarding Association (SFA) yang turut melibatkan Sandakan Lorry Association, Sandakan Hardware Association serta Sandakan Tourism Association.
Ewon berkata, beliau menghargai semua persatuan yang menyampaikan pandangan berkaitan pelbagai isu serta cadangan yang boleh dilaksanakan.
Maklum balas berhubung isu yang dibangkitkan oleh wakil persatuan turut diberikan oleh Jabatan Dermaga dan Pelabuhan Sabah, Sabah Ports Sdn Bhd serta Majlis Perbandaran Sandakan.
“Perkara yang berada dalam kawalan MINDET sepenuhnya akan diputuskan di peringkat kementerian, manakala perkara yang melibatkan peranan kementerian lain akan diangkat ke platform yang bersesuaian.
“Saya akan terus mengambil inisiatif seperti ini dengan mengadakan dialog bersama pemain industri dan persatuan keusahawanan serta melibatkan agensi-agensi kerajaan seperti hari ini,” katanya.
Dalam lawatan itu, Ewon dan rombongan turut memenuhi jemputan meninjau fasiliti depo K Enterprise di Sandakan yang merupakan antara pemain utama dalam rantaian perkhidmatan pengangkutan dan logistik di daerah berkenaan.
Beliau turut mengalu-alukan penglibatan aktif syarikat swasta tempatan dalam sektor logistik serta usaha mereka untuk mengembangkan operasi.






