PENAMPANG, SABAH – Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick menyatakan pendirian tegas parti pimpinan beliau dalam menuntut pemulangan semula semangat representasi Dewan Rakyat melalui peruntukan tidak kurang daripada satu pertiga kerusi Dewan Rakyat harus diberikan kepada Sabah dan Sarawak.
“UPKO menuntut pemulangan semula semangat representasi Dewan Rakyat melalui peruntukan tidak kurang daripada satu pertiga kerusi Dewan Rakyat harus datang daripada Sabah dan Sarawak.
“Ini akan menjadi pendirian tegas dan pendirian rasmi UPKO sepanjang masa,” katanya.
Ewon menyatakan demikian semasa menyatakan ucapan dasar beliau di Konvensyen Nasional UPKO di Pusat Kebudayaan Sabah di sini, semalam.
Ewon turut menyatakan cadangan supaya penelitian semula semua pindaan Perlembagaan Persekutuan dan pengujudan Rang Undang-Undang Persekutuan yang telah dibuat dan memberi kesan kepada Sabah tetapi tidak mendapat persetujuan di Dewan Undangan Negeri.
“UPKO mahu Dewan Undangan Negeri Sabah meneliti semula semua pindaan Perlembagaan Persekutuan dan pengujudan Rang Undang-Undang Persekutuan yang telah dibuat dan memberi kesan kepada Sabah tetapi tidak mendapat persetujuan di Dewan Undangan Negeri,” katanya.
Menurut Ewon, pendirian tersebut akan terus diperjuangkan dalam semua platform yang dibolehkan kepada partinya iaitu di mesyuarat kabinet, dewan parlimen dan undangan negeri, perbincangan termasuklah platform perundangan.
“Matlamat penubuhan parti menuntut kita untuk berpegang teguh kepada kepimpinan berprinsip dan komited memberikan pelayanan dan perkhidmatan yang fokus, berani dan ikhlas.
“Menjunjung yang benar, menyanggah yang salah, meneruskan apa yang wajar. Atas matlamat ini, kita akan terus mengambil pendirian-pendirian tegas bertempat yang konsisten dalam perkara-perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Perlembagaan Persekutuan, tadbir urus negara dan isu-isu yang menjadi keprihatinan utama rakyat.
“Penubuhan negara Malaysia ini mempunyai syarat sepertimana dimeterai dalam MA63. Sebab itu UPKO terus bergegas mempertahankan kebebasan beragama, tanah-tanah di Sabah dikuasai oleh kerajaan Sabah dan penghormatan kepada ada istiadat rakyat Sabah,” katanya.