Hak 40 Peratus Berlainan Dengan Peruntukan Emolumen Dan Pembangunan Dalam Belanjawan Adalah...

Hak 40 Peratus Berlainan Dengan Peruntukan Emolumen Dan Pembangunan Dalam Belanjawan Adalah Pendirian UPKO 

0
SHARE
Ewon
Ewon sekitar perasmian Konvensyen Nasional UPKO di Pusat Kebudayaan Sabah ( Sumber Foto: Ihsan UPKO )

PENAMPANG, SABAH – Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick menyatakan pendirian tegas dan pendirian rasmi parti bahawa hak 40 peratus hasil persekutuan di Sabah adalah berlainan dengan peruntukan emolumen dan pembangunan yang diperuntukkan dalam Belanjawan tahunan Kerajaan Persekutuan.

“Dalam perkongsian hasil persekutuan di Sabah, hak 40 peratus merupakan syarat yang telah ditetapkan semasa penubuhan Malaysia. Hak 40 peratus ini adalah berlainan peruntukan emolumen dan pembangunan yang telah ditetapkan dalam belanjawan tahunan Kerajaan Persekutuan kepada Sabah.

“Ini akan menjadi pendirian tegas dan pendirian rasmi UPKO pada sepanjang masa,” katanya.

Ewon menyatakan demikian dalam ucapan dasar beliau di Konvensyen Nasional UPKO di Pusat Kebudayaan Sabah di sini, semalam.

Ketika ditanya pemberita mengenai pendirian UPKO tersebut, Ewon menyatakan peruntukan RM16 bilion untuk pembangunan dan emolumen persekutuan di Sabah bagi tahun 2024 sangat dialu-alukan tetapi ianya harus dikira berlainan dengan hak 40 peratus.

Beliau turut menyatakan sedang berusaha mendapatkan satu perbincangan khas mengenai hak 40 peratus dan semakan semula pemberian khas Sabah sebelum sambutan Hari Malaysia.

“Saya telah berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sabah untuk mendapatkan ketetapan masa bagi mengadakan perbincangan khas tersebut yang saya cadangkan sebelum sambutan Hari Malaysia tahun ini.

“Ini adalah sumbangan saya ke arah pemuktamadan hak 40 peratus ini dengan berusaha menganjur dan memudahcara perbincangan khas kerana pelaksanaan ini adalah urusan Government-to-Government.

“Dalam mesyuarat Kabinet Persekutuan, saya boleh menyuarakan pendirian dan pandangan UPKO, tetapi saya tidak boleh mewakili pendirian kerajaan negeri.

“Sebab itu saya ingin melaksanakan amanah dan tanggungjawab saya dengan memudahcara platform perundingan menggunakan struktur sedia ada,” katanya.