Single ‘Kejora’ Taruhan Terbaru Hael Husaini Dalam Antonim Part I

Single ‘Kejora’ Taruhan Terbaru Hael Husaini Dalam Antonim Part I

0
SHARE
Hael
Poster single baru Hael Husaini, Antonim Part 1

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan komposer terkenal, Hael Husaini yang merupakan artis yang bernaung di bawah syarikat label Rocketfuel Entertainment dengan bangganya mempersembahkan single ketiganya dari album Antonim Part 1 yang berjudul Kejora.

Video muzik eksklusif ini lagu Kejora ini akan ditayangkan pada 9 Ogos 2024 jam 9 malam di saluran YouTube rasmi Hael Husaini.

Dalam video muzik ini, Hael Husaini bergandingan dengan Qasrina Karim, yang juga merupakan pasangan beliau dalam drama popular My Famous Ex-Boyfriend.

Video muzik ini dihasilkan oleh Rocketfuel Studios dan penggambaran telah dijalankan selama satu hari di Shah Alam.

Proses penggambaran yang intensif ini berjaya menghasilkan visual yang memukau dan penuh emosi di samping menggambarkan jalan cerita yang menyentuh hati.

Apa yang membezakan video muzik Kejora adalah konsep dan arahan kreatifnya yang memaparkan Qasrina Karim dalam sisi berbeza.

Berbeza dengan wataknya dalam drama dan penampilannya di media sosial, Qasrina mempamerkan kemahiran menarinya yang jarang dilihat oleh peminat.

Koreografi yang dihasilkan khas untuk video muzik ini memperlihatkan kebolehan Qasrina dalam menari, sekaligus menambahkan dimensi baru kepada lakonannya.

Hael Husaini memainkan peranan sebagai seorang penyanyi dalam video muzik ini, sementara Qasrina Karim menggambarkan watak seorang wanita yang menunggu cinta sejatinya.

Kisah cinta yang digambarkan dalam video muzik ini adalah refleksi kepada lirik dan melodi lagu Kejora, yang menceritakan tentang kesetiaan seseorang terhadap kekasihnya.

Lagu Kejora adalah hasil ciptaan Hael Husaini bersama dua komposer berbakat, Firdaus Rahmat dan Hanis Rafi.

Lagu ini menceritakan tentang kesetiaan dan pengorbanan dalam cinta, dengan melodi yang merdu dan lirik yang mendalam.

Album Antonim Part 1 oleh Hael Husaini telah dilancarkan pada Januari 2024 dan boleh distrim di semua platform penstriman digital.

Album ini telah mendapat sambutan yang luar biasa, dengan lebih daripada tiga juta penstriman di Spotify setakat ini.