KOTA KINABALU, SABAH – Kejohanan Sukan Staf Universiti Malaysia (SUKUM) menjadi medan mengeratkan perpaduan dalam pembangunan sukan dan pendidikan peringkat universiti.
Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd. Ariffin Mohd Arif berkata semangat perpaduan dalam sukan mampu meningkatkan mutu sukan dan pendidikan di peringkat universiti mahupun negara.
“Selain menyediakan medan untuk bertanding, sukan juga membolehkan staf yang mengambil bahagian mengeratkan silaturahim dan bertukar idea serta mampu meningkatkan gaya hidup sihat.
“Ini seterusnya dapat meningkatkan kesejahteraan hidup dalam kalangan staf universiti dan negara amnya.
“Melalui sukan, semangat perpaduan warga staf universiti terutamanya dalam membangunkan mutu sukan dan pendidikan peringkat universiti seterusnya negara, dapat disemai dan dikekalkan bagi melahirkan generasi yang ceria dan harmoni.
“Disamping itu, penglibatan para pegawai dan atlet dalam kontinjen masing-masing dalam SUKUM ini amat membantu dalam membangunkan sukan negara melalui pembangunan prasarana, fasiliti sukan serta persediaan atlet,” katanya ketika merasmikan SUKUM edisi Ke-45 di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Sabah (UMS), pada Sabtu.
SUKUM kali ini menyaksikan penyertaan 20 kontinjen universiti awam yang menghimpunkan seramai 2,303 atlet melibatkan 23 acara sukan yang menawarkan 139 pingat emas secara keseluruhannya.
Ariffin turut menzahirkan harapan agar para atlet dapat menghayati semangat kesukanan yang tinggi dalam persaingan memburu kejuaraan yang menuntut reka bentuk strategi tertentu yang didasarkan kepada permuafakatan dan persepakatan setiap ahli pasukan.
“Dalam pada itu saya menyeru agar sektor pendidikan tinggi negara harus terus menyumbang kepada pembangunan dan kecemerlangan pembangunan sukan negara dengan lebih bermakna kerana selain kekuatan atau ketahanan fizikal dan mental, pembangunan sektor sukan sangat turut berkait rapat dengan ilmu, penyelidikan, strategi dan teknologi,” ujarnya.
Turut hadir, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff dan Pendaftar UMS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKUM Edisi 2024, Luqman Ridha Anwar. — JABATAN PENERANGAN SABAH