TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan dalam satu operasi di sekitar bandar Tawau, petang Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek ditahan kira-kira jam 3 petang selepas gerak-geri mencurigakannya menarik perhatian anggota polis.
Jelas ACP Jasmin tangkapan tersebut dilakukan oleh sepasukan anggota dari Strike Team, Balai Polis Tawau yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah di sekitar kawasan Taman Pickyard, Jalan Mawar, Tawau.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas suspek tidak menemui sebarang barang yang menyalahi undang-undang, namun ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine (syabu) dan Amphetamine,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Menurut beliau, suspek warga asing berusia 36 tahun itu, ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.
ACP Jasmin turut mengingatkan orang ramai agar terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti jenayah di kawasan mereka.
“Polis akan terus mempergiatkan operasi bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman masyarakat terjamin,” tambahnya.