Inisiatif SENTOSA 2026 Manfaat 30,000 Mahasiswa IPT Dalam Negeri

Inisiatif SENTOSA 2026 Manfaat 30,000 Mahasiswa IPT Dalam Negeri

0
SHARE

KOTA KINABALU; Kerajaan Negeri terus memperkukuh komitmen terhadap pembangunan modal insan melalui pelaksanaan 14 inisiatif bantuan pendidikan dengan perbelanjaan keseluruhan mencecah RM210.25 juta dalam tempoh lima tahun, sekali gus memberi manfaat kepada ratusan ribu pelajar di seluruh Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sepanjang tempoh itu seramai 90,296 pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan 184,911 pelajar sekolah telah menerima manfaat daripada pelbagai bantuan yang disediakan kerajaan negeri.

Selain itu, sebanyak 1,500 sekolah termasuk sekolah agama serta 57 persatuan pelajar IPT Sabah turut menerima bantuan, di samping pelaksanaan 362 program pendidikan di seluruh negeri.

Menurut beliau, bagi tahun ini sahaja kerajaan negeri memperuntukkan RM100 juta untuk Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 5,000 pelajar.

“Peruntukan besar ini membuktikan kemampuan serta komitmen tinggi kerajaan dalam membela nasib rakyat Sabah melalui pendidikan sebagai pelaburan jangka panjang,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Inisiatif Bantuan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA) 2026 di Dewan Rafflesia, Politeknik Kota Kinabalu, pada Khamis.

Pada majlis itu, seramai 3,366 pelajar Sabah di Politeknik Kota Kinabalu menerima bantuan SENTOSA secara tunai.

Hajiji berkata, bantuan berkenaan diwujudkan sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan mahasiswa anak-anak Sabah yang berusaha menimba ilmu demi masa depan diri, keluarga dan negeri.

Menurutnya, bantuan tersebut juga diharap dapat meringankan beban kewangan pelajar, khususnya bagi menampung kos perjalanan pulang ke kampung halaman ketika musim perayaan.

“Tahun ini dianggarkan seramai 30,000 pelajar IPT Sabah yang menuntut dalam negeri akan menerima manfaat bantuan SENTOSA,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan meneruskan kesemua 14 inisiatif pendidikan pada tahun ini, termasuk Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One-Off (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI), Bantuan Aktiviti PIBG (BAGUS), Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH), Bantuan Penyelenggaraan Kecil Sekolah (BALKIS) serta Bantuan Khas Program Pendidikan (BANTU).

Turut diteruskan ialah Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA), Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (SEMESTA), Bantuan Graduan Rindu Sabah atau Subsidi Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (GRS-SUBFLY), SENTOSA, Sumbangan Kegiatan Sekolah Secara One-Off (SUKSES) serta bantuan baharu Bantuan Pendaftaran Yuran MUET (BAYU).

Hajiji berkata, kesemua inisiatif berkenaan berbentuk dana dan kemudahan bagi pelbagai tujuan termasuk pendaftaran pelajar IPT, pelaksanaan program pendidikan serta penyediaan kelengkapan kemudahan dan digital selaras dengan agenda pembangunan negara.