KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif mahu semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini terus memperkukuh integriti serta meningkatkan kecekapan pentadbiran bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat lebih berkesan.
Beliau berkata, usaha itu penting kerana PBT merupakan barisan hadapan kerajaan yang berinteraksi secara langsung dengan rakyat serta pelabur di peringkat tempatan.
“Majlis daerah, majlis perbandaran dan semua yang berada di bawah Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah (KKTP) telah melaksanakan tanggungjawab dengan baik. Tinggal kita menambah baik perkara yang perlu kita tambah baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan amanat pada Majlis Amanat Menteri dan Majlis Berbuka Puasa KKTP yang berlangsung di Dewan Nabalu, Wisma Innoprise, semalam.
Program itu menghimpunkan warga KKTP dari seluruh Sabah termasuk pentadbir dari majlis daerah dan majlis perbandaran serta agensi di bawah portfolio beliau sebagai Exco Hal Ehwal Agama negeri.
Dalam pada itu, Arifin menegaskan kepentingan tadbir urus yang telus melalui pelaksanaan Pelan Tindakan Anti Rasuah Organisasi (OACP) serta usaha mendapatkan pensijilan Anti-Bribery Management System (ABMS) dalam kalangan PBT.
Beliau berkata, Majlis Perbandaran Sandakan menjadi PBT pertama di Sabah yang berjaya memperoleh pengiktirafan ABMS, manakala beberapa PBT lain termasuk Majlis Daerah Beaufort sedang dalam proses mendapatkan pensijilan tersebut.
Menurutnya lagi, kementerian bersama pembantu-pembantu menteri dan Setiausaha Tetap akan terus memantau prestasi PBT selain menerima cadangan serta input daripada ketua eksekutif, pegawai kerajaan dan masyarakat.
Selain itu, Arifin turut memaklumkan bahawa KKTP akan mengadakan jelajah ke seluruh daerah di Sabah selepas Ramadan bagi memperkukuh kerjasama antara kementerian, PBT serta agensi agama negeri seperti Majlis Ugama Islam Sabah dan Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah.
“Insya-Allah selepas Syawal kita akan mengadakan jelajah ke seluruh daerah bagi mendapatkan taklimat, mengadakan program suai kenal serta bermuhibah dengan rakan-rakan di majlis daerah dan majlis perbandaran,” katanya.
Dalam amanatnya sebelum itu, Arifin turut menegaskan bahawa PBT merupakan “wajah dan enjin negeri” kerana kebanyakan urusan rakyat dengan kerajaan berlaku di peringkat tempatan termasuk berkaitan lesen perniagaan, kelulusan pelan pembangunan serta penyediaan kemudahan awam.






