KOTA KINABALU: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Sabah menegaskan komitmennya untuk memastikan bekalan protein berasaskan ayam serta daging lembu dan kerbau mencukupi bagi menampung permintaan semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun 2026 di negeri ini.
Pengarah DVS Sabah, Dr. Zul Bahar Abdul Rashid berkata, unjuran jabatan bagi lima bulan pertama 2026, pengeluaran tempatan daging ayam dijangka mencecah 29,916.65 tan metrik, manakala pengeluaran daging ruminan (lembu dan kerbau) pula dianggarkan sebanyak 3,185 tan metrik.
“Bagi menampung sebarang peningkatan permintaan ayam bulat sepanjang tempoh perayaan, DVS telah membenarkan kemasukan import ayam bulat seawal Disember 2025 bagi memastikan bekalan di pasaran sentiasa mencukupi dan stabil,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas mengenai rampasan produk hasil haiwan sejuk beku di sebuah gudang di Penampang pada 3 Mac lalu yang melibatkan produk berasaskan ruminan dan ayam beliau berkata, tiada sitaan dibuat.
“Kami telah mengesahkan tiada sitaan dibuat ke atas 542,519.16 kg produk tersebut di bawah Enakmen Haiwan 2015 kerana kesemua produk mempunyai lesen import yang sah,” jelasnya.
Dr. Zul turut menekankan bahawa pihak jabatan akan terus memantau perkembangan bekalan dan permintaan semasa bagi memastikan kestabilan bekalan makanan serta kelangsungan industri ternakan di Sabah sentiasa terjamin.






