Empat Premis Diserbu, Aksesori Dan Wangian Tiruan Wanita Dirampas

Empat Premis Diserbu, Aksesori Dan Wangian Tiruan Wanita Dirampas

0
SHARE
Gambar serbuan ihsan KPDNHEP Sabah...

KOTA KINABALU, SABAH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sabah telah menyerbu empat buah premis perniagaan dan menyita 1,355 barangan disyaki tiruan dianggarkan bernilai RM24,760.

Pengarahnya, Georgie Abas berkata serbuan pada Isnin itu melihat rampasan aksesori wanita dan wangian yang terdiri daripada jenama “Louis Vuitton (LV)”, “Chanel” dan “Victoria Secret”.

“Semua barangan terbabit dianggarkan bernilai dan tindakan kes diambil di bawah Akta Cap Dagang 2019…

“Serbuan dijalankan oleh empat pasukan pegawai penguat kuasa masing-masing dengan empat orang wakil pemilik cap dagang berdaftar jenama yang disebut di lokasi sekitar Kota Kinabalu,” katanya.

Gambar serbuan ihsan KPDNHEP Sabah…

Beliau berkata semua empat pemilik premis perniagaan terbabit adalah disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Cap Dagangan 2019.

Kes akan disiasat mengikut seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barangan.

Georgie berkata kes ini merupakan kejayaan kedua yang dihasilkan pihaknya tahun ini.

“Dari 8 sehingga 9 Mac yang lalu, sebanyak 437 barangan aksesori wanita yang terdiri daripada beg tangan, beg sandang, tali pinggang, dompet, selipar, kasut, topi dan gelang jenama “Louis Vuitton (LV)” dan “Chanel” yang disyaki tiruan dengan nilai rampasan sebanyak RM10,573 telah disita di dalam serbuan di lokasi yang berbeza dalam daerah Kota Kinabalu dan Penampang di mana tindakan kes telah diambil di bawah Akta Cap Dagang 2019.

“Kementerian ini akan terus menguatkuasakan undang-undang di bawah Akta Cap Dagangan 2019 bagi membanteras penjualan barangan tiruan dan aktiviti cetak rompak di pasaran.

“Para peniaga adalah diingatkan agar lebih bertanggungjawab serta menghormati harta intelek orang lain di samping sentiasa berusaha membuat semakan status kesahihan dan ketulenan barangan yang dibekalkan.

“Pengguna juga dinasihati supaya tidak menyokong jualan barangan tiruan di pasaran yang belum tentu terjamin dari segi kualiti dan keselamatannya,” katanya.