Kesedaran Perubahan Iklim Luar Bandar Sabah Masih Rendah

Kesedaran Perubahan Iklim Luar Bandar Sabah Masih Rendah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Komuniti luar bandar di Sabah masih kurang menyedari risiko pemanasan global walaupun negeri itu antara penyumbang utama Malaysia dalam pemuliharaan hutan dan usaha tindakan iklim.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, penyertaan masyarakat termasuk pihak berkuasa tempatan di Sabah masih rendah dan perlu dipertingkat bagi menyokong sasaran iklim negara di bawah Perjanjian Paris.

“Penyertaan dari Sabah, termasuk pihak berkuasa tempatan, masih sangat rendah. Kita perlu mulakan usaha supaya lebih ramai, termasuk komuniti luar bandar, mengambil bahagian dalam inisiatif mengurangkan pelepasan karbon serta mengamalkan gaya hidup mampan,” katanya selepas sesi Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) di sini pada Khamis.

Menurutnya, program seperti Low Carbon Cities memerlukan kerjasama sektor swasta, agensi kerajaan dan PBT, namun penyertaan di Sabah masih sangat rendah.

Arthur turut menegaskan Sabah berada di hadapan dalam tadbir urus iklim selepas meluluskan enakmen perubahan iklim dan karbon sendiri, selain memiliki kawasan hutan luas yang membantu mengurangkan pelepasan gas rumah kaca serta menjana kredit karbon.

“Sabah sedikit ke hadapan. Kira-kira 83,000 hektar di Kuamut telah diiktiraf sebagai projek kredit karbon yang menghasilkan lebih 80,000 tan kredit karbon dan telah diperdagangkan di Bursa Carbon Exchange,” katanya.

Beliau berkata Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) kini dimuktamadkan dan dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini bagi memperkukuh tindakan iklim negara menuju sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.