“Jangan jadi samseng jual rokok haram” – Fairuz

“Jangan jadi samseng jual rokok haram” – Fairuz

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah tidak akan memberi ruang kepada penjual rokok haram yang berlagak samseng di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negeri.

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Fairuz Renddan berkata, tindakan tegas akan diambil bagi membanteras kegiatan itu, susulan insiden seorang penguat kuasa dipercayai dipukul di Pasar Batu 8, Sandakan.

“Kita akan banteras dan usir semua penjual rokok haram di kawasan PBT, bukan sahaja di Sandakan tetapi di seluruh Sabah. Golongan samseng seperti ini tidak akan diberi ruang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata kejadian itu tular di media sosial selepas seorang penguat kuasa dilaporkan cedera dipercayai dipukul sekumpulan lelaki ketika menegur penjual rokok di kawasan pasar kira-kira jam 2.30 petang kelmarin.

Menurutnya, walaupun kes rokok seludup berada di bawah bidang kuasa kastam, kementeriannya akan mempergiat usaha bagi mengekang kegiatan penjualan rokok haram di kawasan PBT.

Fairuz turut mengingatkan peniaga supaya mematuhi undang-undang dan tidak bertindak agresif terhadap pegawai penguat kuasa yang menjalankan tugas.