Polis Rampas Syabu Lebih 101 Gram, Tahan Lelaki Dalam Op Tapis di...

Polis Rampas Syabu Lebih 101 Gram, Tahan Lelaki Dalam Op Tapis di Kudat

0
SHARE

KUDAT: Polis menahan seorang lelaki serta merampas dadah disyaki jenis syabu seberat kira-kira 101.21 gram dalam rondaan Op Tapis di kawasan simpang Kampung Tungkang, Sikuati, di sini, pada 7 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Kudat, Mohd Haris Ibrahim berkata, kejadian berlaku kira-kira 7.10 malam ketika sepasukan pegawai dan anggota polis dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat menjalankan rondaan operasi di kawasan berkenaan.

Menurutnya, pasukan polis terserempak dengan dua lelaki dalam keadaan mencurigakan sebelum memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

“Bagaimanapun, kedua-dua lelaki terbabit cuba melarikan diri. Pihak polis berjaya menahan seorang suspek manakala seorang lagi berjaya meloloskan diri,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan terhadap suspek yang ditahan menemui dua paket plastik lutsinar berisi hablur kristal disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat kasar kira-kira 101.21 gram.

Menurutnya, suspek yang berumur 40 tahun didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine/amphetamine,” katanya.

Mohd Haris berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek telah direman bagi membantu siasatan lanjut.

Beliau turut menegaskan pihak polis akan terus mempergiat usaha membanteras kegiatan pengedaran dadah di daerah ini.

“Polis Kudat komited memerangi aktiviti pengedaran dadah dan meminta orang ramai bekerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan dadah di kawasan masing-masing,” katanya.