15 Pimpinan ARMADA Sabah Letak Jawatan, Keluar BERSATU

15 Pimpinan ARMADA Sabah Letak Jawatan, Keluar BERSATU

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seramai 15 pimpinan ARMADA BERSATU Sabah mengumumkan peletakan jawatan daripada semua jawatan dalam sayap pemuda parti itu serta keluar daripada Parti Pribumi BERSATU Malaysia (BERSATU) berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan tersebut turut melibatkan pembubaran jawatankuasa ARMADA negeri.

Dalam kenyataan media hari ini, kumpulan pimpinan yang terdiri daripada ketua-ketua ARMADA bahagian serta ahli jawatankuasa ARMADA di peringkat negeri dan pusat memaklumkan keputusan itu dibuat selepas menilai secara serius perkembangan semasa parti yang disifatkan sedang berdepan kemelut dalaman yang semakin meruncing dan dipertontonkan secara terbuka kepada umum.

Menurut mereka, konflik dalaman parti yang berlarutan termasuk serangan terbuka dalam kalangan pimpinan, kenyataan di media sosial serta pertikaian berpanjangan telah mencalarkan imej parti dan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap perjuangan yang pernah dibawa oleh parti berkenaan.

Mereka turut menyuarakan kebimbangan terhadap pendekatan pecat-memecat serta tindakan disiplin yang disifatkan tidak konsisten dan selektif dalam mengurus perbezaan pandangan dalam parti.

“Kami dengan tegas menyatakan bahawa kami tidak menyokong budaya politik sedemikian kerana ia hanya akan memecah-belahkan parti dan melemahkan semangat perjuangan dalam kalangan ahli,” menurut kenyataan itu.

Sebagai pimpinan sayap pemuda di Sabah, mereka menegaskan ARMADA sepatutnya menjadi wadah yang menyatukan kekuatan anak muda serta memperkukuhkan parti, namun keadaan semasa menyukarkan peranan tersebut dilaksanakan berikutan konflik dalaman yang berterusan.

Sehubungan itu, mereka mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai pendirian berprinsip bahawa maruah perjuangan tidak boleh terus dipertaruhkan dengan pertikaian dalaman yang berpanjangan.

Langkah tersebut juga disifatkan sebagai mesej bahawa golongan muda menolak politik perpecahan, serangan terbuka dan budaya pecat-memecat yang didakwa semakin menjadi norma dalam parti.

Dalam pada itu, mereka turut merakamkan penghargaan kepada seluruh ahli ARMADA di Sabah atas sokongan dan kerjasama sepanjang tempoh memegang amanah sejak penubuhan semula BERSATU di negeri berkenaan.

“Kami akan terus memperjuangkan suara anak muda dengan penuh tanggungjawab demi masa depan negeri dan negara,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu diakhiri dengan pendirian bahawa apabila prinsip diketepikan dan perpecahan menjadi budaya, maka jawatan bukan lagi sesuatu yang perlu dipertahankan.