PAPAR: Aktivis masyarakat muda, Adrian Edy, terus aktif menjalankan pelbagai kerja kebajikan bagi membantu golongan kurang bernasib baik di Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, usaha yang dilakukan adalah ikhlas dan didorong didikan ibu bapanya sejak kecil.
“Kerja kebajikan yang saya jalankan adalah ikhlas dan lahir daripada kesedaran untuk berkongsi kasih sayang serta rezeki kepada golongan yang kurang bernasib baik,” katanya ketika ditemui wartawan pada Ahad.
Adrian berkata sejak tiga tahun lalu beliau menyantuni pelbagai golongan termasuk miskin tegar, warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU) serta mangsa musibah di kawasan pedalaman.
Beliau juga menyalurkan sumbangan kepada rumah ibadat seperti surau dan gereja, selain membantu sebuah keluarga di Kampung Penan Muslim, Bintulu, Sarawak yang mempunyai anak menghidap penyakit jarang berlaku, Congenital Generalized Hypertrichosis (CGH).
Adrian berharap lebih ramai pihak tampil membantu golongan memerlukan di mana sahaja mereka berada.






