KUALA LUMPUR – Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) menyarankan kerajaan menyekat penjualan beberapa kategori barangan luar dalam platform e-dagang untuk membantu dan melindungi usahawan tempatan.
Ahli Majlis Eksekutif Pusat yang juga Ketua Biro Ekonomi PEJUANG, Armin Baniaz Pahamin, berkata langkah itu bertujuan melindungi industri mikro, kecil dan sederhana untuk kembali pulih daripada krisis ekonomi yang banyak menggugat perniagaan.
“Sebanyak AS$49.4 bilion (RM206.07 bilion) barangan dari China dibeli rakyat negara ini tahun lalu, menerusi platform atas talian sekali gus menjadi negara keempat pembeli atas talian terbesar daripada jumlah nilai dagang kasar pada promosi jualan 11.11 tahun lalu selepas Amerika Syarikat, Russia dan Perancis…
“Jumlah itu lebih besar berbanding dengan Singapura (AS$28.2 bilion atau RM117.64 bilion), Jepun (AS$13 bilion atau RM54.23 bilion) dan Amerika Syarikat (AS$12.8 bilion atau RM53.40 bilion).
“Aliran tunai keluar negara AS$49 bilion atau RM204.40 bilion adalah jumlah besar yang boleh dibelanjakan untuk barangan tempatan,” katanya dalam satu kenyataan yang dipetik BH Online malam tadi.
Beliau turut mendedahkan, terdapat kira-kira 14.4 juta pengguna e-dagang di Malaysia dan dijangka meningkat hampir empat juta pengguna baharu atau 77 peratus daripada jumlah populasi negara ini menjelang 2025.
“Purata pembelian atas talian setiap pengguna e-dagang berjumlah AS$383 atau RM1,597.68 setahun dan dijangka meningkat kepada AS$530 atau RM2,210.89 setahun menjelang 2025…
“Jika tidak dibendung awal, kita bimbang bukan saja usahawan tempatan, tetapi ekonomi negara juga bakal terjejas dengan jumlah import melebihi jumlah eksport,” katanya.
Beliau mendakwa, sekatan penjualan barangan luar itu dapat melindungi inisiatif dan usaha kerajaan yang sudah memperuntukkan RM4.6 bilion pada Belanjawan 2020 untuk pembangunan usahawan.
“Sejak 2010, kerajaan melalui agensi Tabung Ekonomi Kumpulan Urus Niaga (TEKUN) membimbing 219,674 usahawan dalam pelbagai industri melalui program Asas Keusahawanan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga dan beratus ribu usahawan lain melalui pelbagai agensi kerajaan…
“Segala usaha ini akan terbiar jika produk dan barangan tempatan gagal bersaing dengan barangan import dari China yang memang jauh mempunyai kekuatan kewangan untuk mengeluarkan barangan dan produk dengan lebih kuantiti dan kualiti.
“Kerajaan juga sudah berbelanja besar berkempen untuk membeli barangan buatan Malaysia, tetapi tanpa halangan dan kawalan akses kepada produk luar, usahawan tempatan mungkin tidak dapat bertahan malah kempen itu akan lebih menguntungkan penjual luar negara dan barangan import,” katanya.
Beliau berkata, permintaan untuk mengehadkan jualan barangan import di syarikat platform e-dagang terkenal diterima baik dan dilaksanakan kerajaan Indonesia yang sudah melaksanakan perintah kawalan barangan jualan atas talian untuk 13 kategori sejak Mei 2021.
“Jumlah perbelanjaan e-dagang Malaysia dalam semua kategori produk adalah AS$5 bilion atau RM20.86 bilion dan dijangka mencecah AS$9.6 bilion atau RM40.05 bilion pada 2025…
“Barangan fesyen adalah kategori produk utama bernilai AS$1.8 bilion atau RM7.51 bilion. Elektronik dan media berada pada kedudukan kedua berjumlah AS$1.4 bilion atau RM5.84 bilion.
“Menjelang 2025, fesyen dijangka akan terus berada di kedudukan teratas dengan nilai AS$3.5 bilion atau RM14.60 bilion. Penjualan barangan elektronik dan media di atas talian juga dijangka berkembang mencapai AS$2.4 bilion (RM10.01 bilion).
“Trend pembelian atas talian rakyat Malaysia tertumpu kepada fesyen, kecantikan, elektronik, makanan dan penjagaan diri dan lebih daripada 52 peratus pembelian atas talian dibelanjakan ke atas produk dari luar negara melalui syarikat platform e-dagang,” katanya lagi.